Orang ramai dinasihatkan patuhi arahan penutupan jalan sempena penganjuran PBIM, 25 November ini

GEORGE TOWN – Pihak polis menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan penutupan jalan-jalan terlibat sempena berlangsungnya acara larian Penang Bridge International Marathon (PBIM) 2018.

Penutupan jalan-jalan terlibat akan bermula pada 24 November ini bermula jam 11 malam sehingga jam 10 pagi (25 November).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Pulau Pinang, Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, bagi Daerah Timur Laut (DTL) sebahagian Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (LTDLCE) dari arah Pusat Bandar akan dilencongkan ke Jalan Ahmad Nor (Jelutong).

Manakala, kenderaan dari Jalan Ahmad Nor yang ingin ke LTDLCE dan Bayan Lepas akan dilencong ke arah Pusat Bandar.

Kenderaan dari Jalan Tunku Kudin ke Pusat Bandar akan dilencongkan ke Jalan Faraday. Dari The Light ke Bayan Lepas, kenderaan akan dilencongkan dari LTDLCE melalui susur keluar Jalan Sultan Azlan Shah melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

Bagi laluan N-Park (Batu Uban) ke Persiaran Bayan Indah pula, laluan kontra akan diaktifkan untuk ke Bayan Lepas,” jelas beliau dalam satu sidang media di Komtar pagi ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin merangkap Pengerusi PBIM 2018 dan Pengarah Projek bagi PBIM 2018, Grace Teoh Koon Gee.

Sementara itu, bagi Daerah Barat Daya (DBD) sebanyak 14 jalan ditutup sepenuhnya dan antara jalan yang terlibat adalah Jalan Aziz Ibrahim (Pantai Jerejak), bulatan Gold Coast 1 dari Putra Palace, Jalan Persiaran Bayan Indah (simpang ke Balai Polis Queensbay/Maybank), bulatan Bayan Indah 3 ke LTDLCE ke Pusat Bandar dan Batu Maung serta Lorong masuk ke Queensbay dari LTDLCE (bawah flyover).

Jalan lain yang terlibat termasuklah susur Y ke Queensbay dari Batu Maung, lampu isyarat kilang Seagate & Intel/Kastam, susur Y arah bulatan Bayan Baru ke George Town, Lebuhraya Bayan Lepas (BLE) arah Jambatan Kedua ke Pusat Bandar, bulatan Bayan Baru ke LTDLCE/Queensbay (tapisan) serta susur Jalan Hilir Sungai Kluang Zon Perindustrian Bebas Fasa 4 ke LTDLCE.

Untuk kawasan Seberang Perai pula, semua kenderaan akan dilencongkan ke terminal feri dan juga ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua),” jelasnya lagi.

Dalam mengurangkan kesesakan dan kesulitan, orang ramai yang menyertai PBIM 2018 juga dinasihatkan agar menggunakan Shuttle Bus yang disediakan pihak penganjur, datang secara berkumpulan dan meletakkan kenderaan yang disediakan untuk mengelak tindakan saman.

Difahamkan pihak pengurusan Queensbay juga akan membuka lot parkir bertingkat selama 24 jam pada hari tersebut untuk kemudahan para peserta.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: CHAN KOK KUAN