Orang ramai dipelawa beri pandangan draf RKK Taman Botani

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

ZAINUDDIN Ahmad (kanan) menjelaskan mengenai draf RKK kepada Ketua Menteri pada Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RKK Taman Botani, di sini baru-baru ini.
ZAINUDDIN Ahmad (kanan) menjelaskan mengenai
draf RKK kepada Ketua Menteri pada Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RKK Taman Botani, di sini baru-baru ini.

KEBUN BUNGA – Selain badan-badan bukan kerajaan, Kerajaan Negeri mengalukan orang ramai untuk memberi pandangan, syor atau bantahan yang ingin dikemukakan dengan merujuk kepada Draf Rancangan Kawasan Khas Taman Botani.

Ini adalah ekoran inisiatif Kerajaan Negeri menambah keluasan Taman Botani kepada 598 ekar yang meliputi 29 buah kawasan antaranya pusat pelawat, Taman Kampung, ‘Malaysian Boulevard’, ‘Bambusetum’, Rumah ‘Epiphyte’, Galeri Orkid dan Rumah Perdana dari yang asal, 72 ekar.

Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri merangkap Penyelaras Kajian Rancangan Kawasan Khas Taman Botani, Zainuddin Ahamad berkata, program publisiti tersebut dijalankan selama empat minggu sehingga 15 Februari 2012.

“Kami mengalualukan orang ramai untuk memberi pendapat serta syor yang difikirkan perlu sebelum kita mewartakan Rancangan Kawasan Khas ini.

“Justeru, mereka yang ingin mengetahui tentang Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Taman Botani atau Botanical Garden Draft Special Area Plan boleh menghubungi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang di Tingkat 57, KOMTAR atau di talian 04- 262 1957,’’ katanya pada Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Taman Botani di sini baru-baru ini.

PARA pegawai Taman Botani menemani Ketua Menteri meninjau keindahan taman.
PARA pegawai Taman Botani menemani Ketua Menteri meninjau keindahan taman.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM688,878.00 pada tahun lalu bagi penyediaan RKK Taman Botani dan Bukit Bendera.

“Tujuan RKK adalah bagi mengenalpasti medium terbaik dalam pengurusan dan projek-projek pembangunan serta pemuliharaan dalam mempergiatkan sektor pelancongan negeri.

“RKK ini disediakan oleh perunding tempatan yang mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang botani dan perancangan fizikal,’’ jelas beliau.

Taman Botani Pulau Pinang adalah di antara 10 Taman Botani yang terdapat di Malaysia. Malah, Taman Botani Pulau Pinang juga merupakan taman botani tertua di Malaysia yang diasaskan pada 1884.