P. Pinang dahului projek e-waste

Admin
TETSURO Kai (dua dari kiri), Chow Kon Yeow (kanan sekali), Phee Boon Poh (dua dari kanan) dan Ar. Patahiyah Ismail (tiga dari kanan) meninjau salah sebuah gerai di tapak pameran bersempena Majlis Pelancaran Program Pelaksanaan Pengumpulan Sisa Buangan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) di sini baru-baru ini
TETSURO Kai (dua dari kiri), Chow Kon Yeow
(kanan sekali), Phee Boon Poh (dua dari
kanan) dan Ar. Patahiyah Ismail (tiga dari
kanan) meninjau salah sebuah gerai di tapak
pameran bersempena Majlis Pelancaran
Program Pelaksanaan Pengumpulan Sisa
Buangan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) di
sini baru-baru ini

GEORGE TOWN – Sebagai salah satu inisiatif dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, Pulau Pinang muncul sebagai negeri pertama dalam negara mengimplementasikan sistem pengumpulan sisa barangan elektrik dan elektronik isi rumah (e-waste).

Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, pelaksanaan projek e-waste adalah langkah terbaik dalam mengurus dan melupuskan barang-barang elektrik dan elektronik.

“Pelupusan sisa buangan elektrik dan elektronik isi rumah memerlukan satu sistem pengurusan bagi mengumpul dan melupuskannya. Jika tidak berhati-hati, sisa buangan tersebut boleh mengancam sistem alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat.

“Berbanding sisa buangan industri yang mudah untuk dilupuskan memandangkan setiap industri mempunyai syarikat-syarikat tertentu berhubung pengurusannya,’’ ujarnya pada Majlis Pelancaran Program Pelaksanaan Pengumpulan Sisa Buangan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) di sini baru-baru ini.

Projek perintis yang dikenali sebagai ‘Model Pembangunan untuk Pengumpulan, Pengasingan dan Pengangkutan E-Waste Isi Rumah Bagi Kitar Semula’ atau ‘ Penang E-Waste Project’ dibiayai oleh Japan International Cooperation Agency (JICA) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang.

Hadir sama, Konsul Jeneral Jepun, Tetsuro Kai; Exco Kesihatan, Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Yang diPertua MPPP, Ar. Patahiyah Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga, Teh Yee Cheu dan Pengurus Projek Penang E-Waste, Hideki Wada.

Tambah Kon Yeow, jumlah e-waste di Pulau Pinang adalah melebihi 13,000 tan setahun dan angka tersebut terus meningkat saban tahun.

“Oleh demikian, sejumlah 153 pusat fasiliti (128 pusat pemulihgunaan separa dan 25 pemulihgunaan sepenuh) telah diwujudkan di Pulau Pinang, menjadikan Pulau Pinang mempunyai pusat fasiliti terbanyak di Malaysia,’’ jelas beliau.

Untuk sebarang maklumat lanjut sila layari laman sesawang http://www.facebook.com/ewaste.Penang atau http://weeepenang. blogspot.com/.