P. Pinang lahir jaguh kasut roda dunia – Lydia

Admin
LYDIA Ong Kok Fooi (depan, lima dari kanan) dan Ar. Patahiyah Ismail (depan, empat dari kanan) bersama para peserta menunjukkan tanda bagus bersempena penganjuran Penang Freestyle Skating Competition 2012 di sini baru-baru ini.
LYDIA Ong Kok Fooi (depan, lima dari kanan) dan Ar. Patahiyah
Ismail (depan, empat dari kanan) bersama para peserta
menunjukkan tanda bagus bersempena penganjuran Penang
Freestyle Skating Competition 2012 di sini baru-baru
ini.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Penganjuran sulung sukan lasak, Penang Freestyle Skating Competition 2012 yang berlangsung di sini baru-baru ini telah dimeriahkan dengan penyertaan 81 peserta profesional dari dalam dan luar negara termasuk Thailand, Indonesia, dan Singapura.

Bersempena penganjuran dua hari tersebut, pasukan Cheung Clarence diumumkan sebagai juara katogeri Classic Slalom (lelaki) manakala Kimberly Cordeiro bagi kategori wanita. Kedua-dua pemenang utama tersebut adalah dari Singapura. Dalam pada itu, bagi acara kemuncak, Battle, Cheung turut diumumkan sebagai juara lelaki dan kategori Battle wanita dimenangi Piyapa Dechfoong dari Thailand.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi berkata, kemahiran dan hasil usaha yang tinggi adalah diperuntukan dalam bidang sukan tersebut.

“Peserta yang terlibat dalam sukan ini perlu melakukan latihan yang konsisten. Sistem pemarkahan amatlah ketat dan memerlukan kemahiran yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

“Malah, ketabahan dan usaha yang gigih akan membuahkan hasil dalam menguasai teknik serta kemahiran dalam sukan ini,” ujar beliau pada Majlis Perasmian Penang Freestyle Skating Competition 2012 di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Pulau Pinang juga telah berjaya melahirkan jaguh sukan kasut roda iaitu Oh Chee Kuan dan Oh Chee Peng yang pernah memenangi pertandingan peringkat antarabangsa di China serta Korea Selatan pada tahun 2010 dan tahun lalu.

Turut hadir, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ar. Patahiyah Ismail dan Pengarah Rekreasi, Pelangcongan dan Hal Ehwal Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha.

Kok Fooi menyatakan bahawa pertandingan tersebut bukan hanya dapat membantu para peserta menilai bakat pada diri masingmasing, malah, ia juga bagi mengeratkan silaturrahim dan menerokai keindahan Pulau Pinang yang mendapat jolokan Pearl of The Orient.

“Saya berharap anda semua (para peserta) tidak akan melepaskan peluang melawati tempat-tempat menarik di Pulau Pinang sambil menikmati makanan terkenal di sini seperti nasi kandar, cendol, asam laksa, char kueh teow dan lain-lain lagi,” ujarnya