Pendidikan awal penting bentuk psikologi, intelektual kanak-kanak

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk personaliti kendiri seawal usia satu tahun.

Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Majimor Shariff berkata, pendedahan terhadap pendidikan awal kanak-kanak juga penting dalam membentuk modal insan yang mampu bersaing di peringkat global.

“Persaingan, dewasa ini wujud bukan lagi bersifat tempatan, sebaliknya lebih bersifat global.

“Justeru, semua pihak termasuk ibu bapa haruslah menggembeleng tenaga dan minda secara menyeluruh bagi melahirkan modal insan yang bukan sahaja mampu bersaing di peringkat global, malah juga mempunyai kapasiti individu pada masa hadapan.

“Pendidikan awal yang berkualiti mampu memberi dimensi baru dalam merangsang perkembangan psikologi dan
intelektual anak-anak kita.

“Sungguhpun bukan senang untuk memupuk budaya ilmu dalam kalangan masyarakat, namun, pendidikan awal
kanak-kanak memerlukan pendekatan baharu agar ia terus memberi manfaat kepada generasi akan datang,” ucapnya pada Majlis Perasmian Seminar Pedagogi Awal Kanak-Kanak dekat sini baru-baru ini.

Turut berucap, Timbalan Pengerusi Lembaga Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP), Datuk Dr.
Mujahid Yusoff.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Sarul Bahiyah Abu; Pengerusi Persatuan Suri & Anggota Perkhidmatan
Awam Malaysia (PUSPANITA) Pulau Pinang, Datin Seri Ir. Hamidah Mat Daud dan Pengarah PPAPP, Sharimah Salleh.

Bertemakan ‘Menelusuri Sanubari Menjana Karisma’, seminar selama tiga hari itu juga diserikan dengan pelbagai
slot perkongsian ilmiah termasuk tips-tips berguna daripada pakar-pakar yang berpengalaman.}