Bajet 2016: Longgarkan syarat pinjaman perumahan bank – Exco

GEORGE TOWN – Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama dengan peruntukan RM200 juta sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2016 pada 23 Oktober lalu diharap turut memenuhi keperluan pembeli berwajib daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana di negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata demikian kerana kira-kira 70 peratus  permohonan pinjaman perumahan ditolak oleh pihak bank, sehingga menggamit kebimbangan daripada Persatuan Pemaju Hartanah & Perumahan Malaysia (REHDA) dan Persatuan Pembeli Rumah (HBP) sendiri.

“Bajet 2016 sepatutnya turut mengutamakan kadar penolakan permohonan pinjaman yang tinggi kerana dalam kajian REHDA menunjukkan sebanyak 70 peratus permohonan pinjaman perumahan di negara ini ditolak oleh pihak bank.

“Langkah-langkah perlu diambil untuk menangani kadar penolakan pinjaman oleh pihak bank yang setinggi 70 peratus,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada wartawan di sini.

Dalam kajian REHDA yang turut dirujuk oleh iProperty.com, Jagdeep memberitahu, kadar penolakan pinjaman perumahan adalah paling tinggi di negeri Johor, diikuti Selangor dan ketiga adalah Pulau Pinang.

Atas maksud itu, Jagdeep berkata, beliau berharap perbincangan dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz atau Penolong Gabenornya, Abu Hassan Alshari Yahaya mengenai syor melonggarkan syarat pinjaman perumahan perbankan dapat disegerakan.

“Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri menyatakan komitmen untuk membincangkan isu berhubung dengan pertimbangan agar bank-bank komersial memperkenalkan pinjaman yang berlainan dan melonggarkan syarat-syarat pinjaman untuk pembelian rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik,” jelas Jagdeep, mengulas balasan surat rasmi Abu Hassan Alshari untuk mengadakan pertemuan pada 2 November lalu.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep sekali lagi menggesa Kerajaan Pusat supaya menyegerakan proses kelulusan baki 118 lagi permohonan dana Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) ke Pulau Pinang.

Bagi Jagdeep, TP1M yang langsung tidak disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada 21 Mei lalu wajar dianggap masih diteruskan oleh Kerajaan Pusat pada tahun depan.

Ini kerana, tambah beliau, berdasarkan surat rasmi Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd. Sadique bertarikh 19 Oktober 2015 yang menyebut mengenai  cadangan mengadakan mesyuarat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri, untuk menyediakan pelan pelaksanaan TP1M dan Program Penyelenggaran Perumahan (PPP).

 “Melalui surat ini, saya beranggapan bahawa TP1M masih diteruskan,” kata Jagdeep.

} else {