P. Pinang pilihan utama pelaburan subsektor riadah & hotel, lapor CREISS

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang kekal sebagai salah sebuah negeri di Malaysia yang menjadi pilihan utama pelaburan subsektor riadah dan perhotelan.

Menurut maklum balas daripada Knight Frank’s Malaysia melalui soal selidik Commercial Real Estate Investment Sentiment Survey 2017 (CREISS), Pulau Pinang dan Sabah dipilih secara undi sebagai kawasan yang paling menarik bagi pelaburan riadah dan hotel.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengulas berkata, Pulau Pinang bukan sahaja mengekalkan statusnya sebagai salah sebuah negeri pilihan utama pelaburan, malah turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam pelbagai sektor dan pencapaian.

“Saya percaya, komitmen yang ditonjolkan oleh Kerajaan Negeri selama ini berjaya menjadi salah satu faktor tarikan kemasukan pelabur.

“Pulau Pinang berjaya menjadi negeri yang mesra pelabur, begitu juga dalam pelancongan perubatan, Pulau Pinang dinamakan sebagai bandar utama yang memberi perkhidmatan kesihatan terbaik dengan akses penerbangan antarabangsa.

“(Dan) berdasarkan InternationalLiving.com, kelebihan doktor terlatih dan kemampuan bertutur dalam bahasa Inggeris menjadi penyumbang terhadap perkembangan perkhidmatan kesihatan tahun ini,” ujarnya yang turut merujuk kepada artikel yang diterbitkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, The Sun pada 20 Februari lalu bertajuk ‘Malaysia ranked first in healthcare, says report’. 

Soal selidik CREISS yang disiarkan melalui TheEdgeProperty.com pada 21 Februari lalu melaporkan tarikan untuk pelaburan dalam subsektor perhotelan melonjak daripada 65 peratus pada 2016 ke 93 peratus (2017).

Juga, Knight Frank’s Malaysia menjangkakan pelaburan dalam subsektor perhotelan kekal stabil dengan jangkaan kadar hotel kekal sepanjang tahun ini.