P. Pinang tak pernah larang azan guna pembesar suara – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak pernah melarang syiar laungan azan dan iqamah menggunakan pembesar suara masjid, sebagaimana didakwa pembangkang Pulau Pinang.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim bagaimanapun berkata, keputusan mesyuarat Majlis Fatwa Negeri mengenai kebenaran menggunakan pembesar suara masjid dan surau untuk tujuan azan dan iqamah semata-mata masih pada peringkat pengurusan pentadbiran, serta belum dimuktamadkan lagi.

“Setelah keputusan ini dibuat, pihak Jabatan Mufti telah menghantar surat kepada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang memaklumkan keputusan ini dan saya juga telah dimaklumkan.

“Bagaimanapun, belum lagi ada apa-apa perancangan serta pemberitahuan dikeluarkan dan kami juga belum putuskan untuk meneruskan fatwa ini ke peringkat seterusnya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Bayan Lepas, Nordin Ahmad pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini baru-baru ini.

Difahamkan, Nordin ada meminta penjelasan lanjut, sama ada larangan berwajib itu turut terpakai atau sebaliknya, untuk majlis-majlis rasmi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Abdul Malik dalam reaksi spontan memberitahu, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang menerima tiga aduan berhubung masalah laungan azan di masjid dan surau dari tahun 2012 hingga Mei tahun ini.

“Tujuh aduan diterima adalah membabitkan aktiviti-aktiviti selain azan seperti ceramah, bacaan al-Quran dan seumpamanya,” jelas beliau.

Beliau dalam pada itu turut melahirkan rasa terkilan terhadap pihak yang membangkitkan isu larangan penggunaan pembesar suara itu dengan pencemaran bunyi.

“Tidak timbul langsung larangan penggunaan pembesar suara dengan pencemaran bunyi. Ada orang bukan Islam yang memuji dan menjadikan azan ini untuk mereka tahu masa.

“Kita mahu membentuk masjid bukan sebagai satu institusi untuk beribadat, tetapi pada masa sama ‘friendly kepada orang bukan Islam,” ujar Abdul Malik.

}