Naiktaraf LTAPP, Pusat tiada sebarang maklum balas

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri belum menerima sebarang maklum balas berhubung status permohonan RM600 juta melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) berhubung Projek Menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng berkata, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri sebelum ini telah menyiapkan Kajian Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Baru Di Utara Malaysia yang mencadangkan supaya LTAPP dinaiktaraf dari kapasiti semasa 6.5 juta penumpang setahun (mppa) kepada 10 mppa.

“Pada masa sama, kajian tersebut turut memperakukan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Kedah yang baru dengan kapasiti 25 mppa untuk menampung keperluan dan unjuran pertambahan penumpang mulai tahun 2025.

“Bagaimanapun, cadangan pelaksanaan projek belum dimuktamadkan oleh Kerajaan Persekutuan,” ujarnya pada sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng berhubung perkara berkaitan.