Pengezonan demi pulihara ‘Bukit Botak’, respons KM

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak pernah meluluskan aktiviti penggondolan Bukit Gambir dekat Relau yang lebih dikenali sebagai “Bukit Botak”, sebagaimana didakwa oleh pemimpin tertentu parti Gerakan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, tujuan pengezonan yang dilakukan Kerajaan Negeri adalah demi memulihara semula kawasan tersebut.

“Kalau ia adalah suatu projek yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri, kita akan tanggung kesalahan itu, tetapi, ia adalah suatu pembangunan haram (tanpa kebenaran Kerajaan Negeri).

“Pengezonan adalah untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan sebelum ini,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada sidang media di sini.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Risalah Penang Goes Orange di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Lagipun, beliau menegaskan, syarikat yang terbabit dengan aktiviti penggondolan bukit tersebut telahpun didakwa dan dihukum sebelum ini. Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dalam kenyataan berasingan mencabar Gerakan mengemukakan bukti, kononnya aktiviti penggondolan bukit tersebut mendapat kebenaran kelulusan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Apa yang didakwa sebagai kelulusan SPC (Jawatankuasa Perancangan Negeri) sebenarnya adalah memulih dan selaraskan status zon perumahan dengan lot sebelah yang sememangnya dizonkan sebagai perumahan oleh Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN).”

“Pada hakikatnya, sehingga kini, tiada apa-apa permohonan diterima.

“Kalau parti Gerakan dapat menunjuk bukti, saya rela menerima hukuman dari Dewan Undangan Negeri kerana memberi maklumat yang salah,” ujar Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota.

Terdahulu, Kon Yeow memberitahu bahawa kerja-kerja mitigasi berwajib diteruskan semula sejak Julai lalu dan projek kehijauan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun depan.

Jelas beliau, kerja-kerja mitigasi yang dilakukan antaranya adalah menanam pokok dan rumput, membina kolam enapan dan membina sistem parit, demi mengelak bencana seperti limpahan air atau risiko hakisan tanah.

“Memang kalau dari Jambatan Pulau Pinang, nampak kawasan ‘Bukit Botak’ itu menjadi semakin botak, tetapi, sebenarnya itu adalah kerja mitigasi yang sedang dijalankan,” katanya.

Difahamkan, kerja-kerja mitigasi yang dilaksanakan sebelum ini telah 30 peratus siap, serta mampu meminimumkan risiko hakisan tanah akibat aktiviti penggondolan bukit sejak pertengahan tahun 2013. Difahamkan, isu penggondolan sekitar Bukit Relau telah mendapat bantahan banyak pihak kerana dilihat bercanggah dengan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020.

Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang yang diwartakan pada 28 Jun 2007 itu antara lain melarang pembangunan di kawasan melebihi 76.2 meter (250 kaki) dari paras laut, dan di cerun dengan kecerunan melebihi 25 darjah.