P. Pinang tuan rumah APECO 2012

Admin

BAYAN BARUPersidangan Ekopelancongan Asia Pasifik (APECO 2012) hasil kerjasama Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan Kerajaan Negeri bakal berlangsung pada 28 hingga 30 November ini di Hotel Eastin bertemakan slogan ‘Kembali kepada Alam Semulajadi’.

Presiden Matta, Datuk Mohd. Khalid Harun berkata, matlamat utama persidangan tersebut adalah untuk mempromosikan ekopelancongan atas dasar pemuliharaan alam sekitar, mengekalkan ekologi dan ekopelancongan sebagai salah satu produk industri.

“APECO adalah satu persidangan yang agak memberangsangkan yang mana kira-kira 300 peserta tempatan serta luar negara dijangka menyertai persidangan yang turut mengetengahkan para penggerak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik dalam bidang kepakaran masing-masing ke arah mencapai kata sepakat bagi masa depan ekopelancongan yang mapan.

“Umumnya, para peserta berpeluang mempelajari dan meningkatkan kesedaran mengenai ekopelancongan selain bertukar-tukar pendapat berhubung tujuan pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

LAW Heng Kiang (duduk, tiga dari kanan) bergambar kenangkenangan bersama Mohd. Khalis Harun (duduk, tiga dari kiri) dan Johari Shafie (duduk, dua dari kanan) selepas majlis sidang media pengumuman penganjuran APECO 2012 di sini baru-baru ini.
LAW Heng Kiang (duduk, tiga dari kanan) bergambar kenangkenangan
bersama Mohd. Khalis Harun (duduk, tiga dari kiri) dan
Johari Shafie (duduk, dua dari kanan) selepas majlis sidang media
pengumuman penganjuran APECO 2012 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Law Heng Kiang, Pengerusi Matta Pulau Pinang, Johari Shafie.

Dalam pada itu, Heng Kiang memberitahu, pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah adalah amat bertepatan memandangkan negeri ini kini lebih bersih dan hijau sebagaimana slogan dilaungkan Kerajaan Negeri.

“Pulau Pinang mempunyai banyak tempat menarik untuk diterokai dan dipromosikan sebagai produk pelancongan, contohnya, kita (Pulau Pinang) mempunyai Taman Negara yang amat sinonim dengan ekopelancongan yang menawarkan pengalaman suasana paya bakau, persisir pantai, dataran lumpur, kolam meromiktik dan hutan hujan tropika semulajadi kepada para pengunjung.

“Selain itu, Bukit Bendera, Ladang Buah-buahan Tropikal, Ladang Rempah, Taman Botani berusia hampir 200 tahun juga wajar dijadikan pilihan baik sebagai destinasi pelancongan.

“Ini adalah permulaan apabila siapnya projek Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (sPICE) kelak, lebih ramai delegasi dijangka hadir ke sini untuk menganjurkan persidangan secara besar-besaran,” ujarnya pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.