Bank of Tokyo di Pulau Pinang

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Prasarana yang baik dan tenaga kerja boleh berbahasa Inggeris merupakan kriteria utama pembukaan cawangan Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) Berhad di sini. Ketua Pegawai Eksekutif Bank of Tokyo- Mitsubishi UFJ (Malaysia) Berhad, Masato Nakamura berkata, selain faktor dinyatakan, pihaknya turut tertarik dengan Malaysia amnya dan Pulau Pinang khususnya kerana kedudukannya yang strategik dan jauh dari bencana alam.

“Pulau Pinang bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam industri elektrik dan elektronik, malah, antara negeri maju di Malaysia yang menawarkan hab pengangkutan terbaik,” katanya dalam ucaptama Majlis Makan Malam sempena Pembukaan Rasmi Bank of Tokyo- Mitsubishi UFJ (Malaysia) Berhad Cawangan Pulau Pinang di Juru baru-baru ini.

Masato menyatakan bahawa pembukaan cawangan di sini (Pulau Pinang) adalah yang pertama bagi wilayah Utara Semenanjung.

“Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ Limited telahpun mempunyai tiga cawangan sebelumnya iaitu satu di Pejabat Perwakilan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1957) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1992 dan 1996) (2),’’ jelas beliau.

Tambahnya, para pelabur dari seluruh dunia bukan sahaja mendapat faedah dari persefahaman dagangan bebas negaranegara ASEAN (Association of South East Asian Nations), malah, turut berpeluang mengembangkan lagi perspektif dan perangkaian perhubungan (networking).

“Ini dapat meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan dan kemudahan terutama bagi pelanggan di wilayah Utara Semenanjung,” ucap beliau yang turut memperakui bahawa Pulau Pinang adalah destinasi pelaburan yang strategik bukan sahaja dalam kalangan negara-negara ASEAN, malah, Asia-Pasifik.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir merasmikan majlis tersebut turut mengalu-alukan Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) Berhad dan mengucapkan tahniah atas pembukaan cawangan baharu di sini.

“Di Pulau Pinang sahaja, terdapat 35 syarikat dari Jepun merangkumi 1,500 ekspatriat yang bekerja di sini.

“Malah pada 2011, syarikat-syarikat Jepun telah melabur RM3.3 bilion dan merupakan antara negara yang paling banyak melabur di Pulau Pinang,” ujar Guan Eng.

Hadir sama, Pegawai Eksekutif Pengurusan bagi Ibu Pejabat Asia dan Ocenia, Takami Onodera; Konsulat Jeneral Jepun ke Pulau Pinang, Tetsuro Kai dan Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) Berhad.

(Dari kiri), MASATO Nakamura, Tetsuro Kai, Ketua Menteri dan Takami Onodera memukul gendang sebagi gimik merasmikan Majlis Makan Malam sempena Pembukaan Rasmi Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) Berhad Cawangan Pulau Pinang baru-baru ini.
(Dari kiri), MASATO Nakamura, Tetsuro Kai, Ketua Menteri dan Takami Onodera memukul
gendang sebagi gimik merasmikan Majlis Makan Malam sempena Pembukaan Rasmi
Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) Berhad Cawangan Pulau Pinang baru-baru ini.