MPPP gred premis makan tingkat mutu kebersihan

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Bagi menjamin mutu kebersihan gerai , makanan dan kesihatan umum, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kini mengorak selangkah ke depan apabila melaksanakan penggredan premis makanan kepada tiga tahap iaitu A, B dan juga C di sini baru-baru ini.

Umumnya , inisiatif tersebut adalah untuk memudahkan para pengguna menilai dan memilih premis mengikut citarasa masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Kesihatan Awam, Ong Ah Teong berkata, daripada 1,936 jumlah keseluruhan premis berlesen, 752 daripadanya telah diperiksa dan digredkan sejak tahun 2011.

“Daripada jumlah 752 premis yang telah diperiksa, sebanyak 245 memperoleh gred A, B (394) dan C (113).

“Terdapat juga premis makanan yang gagal mencapai standard gred ditetapkan MPPP iaitu memperoleh 50 mata ke bawah dan ini kita (MPPP) andaikan sebagai gagal,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Majlis MPPP, Lim Cheng Hoe, Lim Siew Khim dan L. Prem Anand.

Tambah Ah Teong, semua keputusan penggredan premis makanan termasuk kedai kopi telah dimuatturun ke dalam laman sesawang MPPP,www.mppp.gov.my.

“Dengan cara ini, orang ramai mahupun pemandu pelancong dapat memilih paparan kedai dikehendaki dan bersesuaian dengan mereka bagi mengelakkan timbulnya rungutan dalam kalangan pengguna tempatan serta pelancong luar negeri.

“Lanjutan itu, pihak majlis juga sedang berusaha berhubung cadangan menghubungkan link penggredan premis makanan MPPP dengan laman web Tourism Malaysia Pulau Pinang,’’ jelas beliau.

Mengulas lanjut, Ah Teong berkata, sebelum ini, terdapat rungutan dan maklum balas diterima MPPP bahawa pemandu pelancong teragak-agak untuk membawa pelancong makan di premis makanan sekitar Pulau Pinang.

“Kini, dengan adanya penggredan makanan, ia sekaligus memudahkan penggiat industri pelancongan dan agensiagensi terlibat memilih makanan yang lebih baik serta berkualiti,” ujarnya

(Dari kiri), LIM Siew Khim, Ong Ah Teong, L. Prem Anand dan Lim Cheng Hoe menunjukkan link penggredan makanan yang telah dimuatturun di laman sesawang MPPP di sini baru-baru ini.
(Dari kiri), LIM Siew Khim, Ong Ah Teong, L. Prem Anand
dan Lim Cheng Hoe menunjukkan link penggredan makanan
yang telah dimuatturun di laman sesawang MPPP di sini
baru-baru ini.