P. Pinang tuan rumah NEX2016, harap idea baharu makmur ekonomi serantau

Admin

PANTAI JEREJAK – Selepas penganjuran di Singapura dua tahun lalu, Pulau Pinang yang memperoleh pelbagai pengiktirafan peringkat dunia kebelakangan ini dipilih menjadi tuan rumah Persidangan Kepemimpinan NEX2016.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa menyampaikan ucapan perasmian berharap, persidangan yang menghimpunkan para pemikir dari pelbagai bidang itu pada dasarnya mampu menghasilkan idea-idea baharu untuk membantu Kerajaan Negeri mengharungi iklim ekonomi negara yang kian mencabar, kini.

“Revolusi perindustrian pertama mengenai kejenteraan, revolusi kedua mengenai kuasa elektrik serta produktiviti, revolusi ketiga mengenai internet serta komputer, dan sekarang adalah revolusi perindustrian keempat iaitu semua perkara (globalisasi) saling berhubung secara bersepadu.

“Bagi saya, kami (Kerajaan Negeri) mempunyai bakat dan juga kemampuan dari segi ekonomi, tetapi memerlukan lebih ramai rakan kongsi untuk memacu pembangunan Pulau Pinang pada masa depan,” jelasnya di depan 380 tetamu persidangan di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan Fook Sing.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang dan Azhana Mohamed Saleh (Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, MIDA) dan Tan Sri Datuk Dr. Sak Cheng Lum (Ahli Lembaga Amanah bagi Yayasan ECM Libra).

Menurut Guan Eng, usahasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan Temasek serta Economic Development Innovations Singapore Pte. Ltd. (EDIS) dalam pemajuan projek perdana Penyumberan Luaran Proses Perniagaan (BPO) di Bayan Lepas dengan RM1.3 bilion nilai pembangunan kasar (DGV) adalah salah satu contoh inisiatif Kerajaan Negeri dalam membina jaringan rakan kongsi baharu untuk mengembangkan potensi pelaburan dan ekonomi Pulau Pinang.

Tiga hari persidangan mulai 10 Mac membariskan beberapa panelis tersohor, antaranya Lim Siong Guan (Presiden Kumpulan Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura, GIC), John Ng (Chief Passionary Officer Meta Colsulting), Micheal Tan (Presiden Eagles Communications), Seah Jiak Choo (bekas pengurus besar merangkap menteri pendidikan Singapura) dan Kim Tan (Pengerusi SpringHill Management Ltd.).

Penulis dan jurucakap antarabangsa, Paul McGee, Lawrence Leong (Penolong Pengarah Eksekutif Lembaga Pelancongan Singapura), Lucas Chow (bekas Ketua Pegawai Eksekutif Far East Orchard, MediaCorp dan Singtel Mobile), Prof. Neo Boon Siong (ahli akademik Nanyang Technological University, Singapura), Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan (bekas wartawan dan penasihat beberapa badan korporat antarabangsa) dan Montree Sornpaisarn, CFA (Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kim Eng Securities Thailand Plc.) turut dijemput sebagai pembentang pada persidangan antarabangsa itu.

Dua tahun lalu, Guan Eng merupakan antara panelis jemputan ke persidangan serupa di Singapura, dalam membincangkan mengenai cabaran kepemimpinan bagi mendepani ekonomi di rantau Asia Tenggara