Padam lampu 4 pagi tidak benar – Pengerusi JKKK

Admin

SERI DELIMA – Integriti kewartawanan sebuah akhbar perdana dipersoal gara-gara menyebarkan kenyataan tidak sahih daripada seorang penduduk yang mendakwa lampu jalan sekitar Taman Island Glades di sini kononnya dipadam seawal jam 4 pagi, hingga mendedahkan penduduk setempat pada risiko jenayah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Island Glades, Ooi Poey Lam menegaskan, akhbar (arus perdana) itu sepatutnya mendapatkan maklum balas sebenar berhubung perkara tersebut daripada pihak berwajib sebelum menyiarkan berita palsu itu.

“Jika saya sebagai wartawan, saya akan mendapatkan respons susulan dan menyiasat isu tersebut, sebelum disiarkan.

“Tetapi, akhbar itu telah menulis berita ini, yang kesemuanya nyata adalah palsu,” ujarnya sambil mempersoal ketidakhadiran wartawan akhbar berkenaan pada sidang medianya di sini baru-baru ini.

Malah, Poey Lam di depan wartawan yang hadir turut menghubungi syarikat akhbar terbabit, tetapi, meja pengarang negeri sekadar memberi respons, “kami sedang sibuk”.

Jelasnya, lampu jalan di kawasan berkenaan dipadamkan pihak berwajib selewat jam 7 pagi, iaitu semasa hari kian mencerah.

Manakala, lampu limpah dekat gelanggang bola keranjang di sini pula dinyalakan secara automatik tiap-tiap hari pada detik 6.45 pagi hingga 7.30 pagi menggunakan alat tetapan masa, demi keperluan riadah penduduk setempat.

“Jika alat tetapan masa ini tidak berfungsi, lampu limpah di gelanggang bola keranjang akan menyala sepanjang hari, bukan terpadam hingga menggelitakan kawasan di sini,” nyata beliau.

Terdahulu, akhbar perdana berbahasa Inggeris bertarikh 15 Mei lalu menyiarkan berita luahan rasa tidak puas hati daripada seorang wanita berusia 65 tahun pada sesi turun padang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer berhubung itu tersebut.

Menurut laporan itu, wanita berkenaan mengadu bahawa penduduk setempat berjoging seakan dalam gelita disebabkan kekurangan cahaya lampu jalan pada awal pagi tiap-tiap hari, sekaligus mendedahkan mereka pada risiko jenayah.

Beliau turut dilaporkan mengaku pihaknya telahpun membuat aduan sebanyak dua kali, tetapi, pihak berwajib berdalih bahawa langkah memadamkan lampu jalan seawal jam 4 pagi itu adalah demi menjimatkan tenaga elektrik.