Masyarakat sihat jana produktiviti negeri – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 1,000 peserta mengambil bahagian dalam acara kayuhan amal mengelilingi pulau, Island Fun Ride 2014 sejauh 86.9 kilometer (km) bagi memungut derma untuk rumah orang tua, The Little Sisters of The Poor di sini baru-baru ini.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng yang hadir pada acara tersebut merakamkan ucapan tahniah kepada para peserta kerana sudi menyertai acara peringkat komuniti tersebut.

“Selain bertujuan mempromosi gaya hidup sihat untuk keluarga dan masyarakat, kayuhan, aktiviti luar serta santai ini sebahagiannya dapat membantu menjayakan matlamat Kerajaan Negeri mencapai status sebuah negeri yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Saya percaya dengan lahirnya masyarakat yang sihat, secara tidak langsung ianya bakal menjana produktiviti baik kepada negeri, kerajaan dan masyarakat di Pulau Pinang,” ucapnya di sini.

Program amal yang turut berjaya memperoleh 100 penyertaan peserta antarabangsa seperti Indonesia, Thailand, Taiwan, China, Singapura, Hong Kong, Australia dan Jepun tersebut adalah anjuran Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Kelab G serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Island Park.

Dalam pada itu, bagi peserta Yeo Sek Aip, 57, yang pertama kali menyertai kayuhan amal menyatakan bahawa penyertaan beliau adalah sebagai hobi dan untuk bersenam.

“Saya melengkapkan kayuhan ini selama tiga jam 34 minit.

“Selepas ini, saya akan sertai lagi acara seperti ini untuk berkenalan dengan peserta lain yang turut berkongsi hobi sama,” jelasnya.

Peserta-peserta yang berjaya menamatkan kayuhan masing-masing menerima pingat serta sijil penyertaan.