Padang Bertam Putra masuk senarai pendek MBSP untuk dinaik taraf

 PINANG TUNGGAL – Selepas beberapa siri lawatan dan cadangan, padang Bertam Putra, Persiaran Seksyen 5 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal dimasukkan dalam senarai pendek untuk dinaik taraf oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

 

Ahli Majlis bagi MBSP, Zainuddin Mohamed sebelum ini juga telah meminta Jabatan Landskap MBSP untuk memperuntukkan dana bagi kerja-kerja naik taraf tersebut.

 

“Cadangan kertas kerja naik taraf akan dibentangkan terlebih dahulu dalam tempoh dua minggu dari tarikh lawatan tapak.

 

 

“Sekiranya semua berjalan lancar proses seterusnya akan dilaksanakan dan kerja-kerja naik taraf dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.

 

 

“Saya terus komited membantu masyarakat dalam memastikan kemudahan awam yang disediakan kepada penduduk sentiasa berada pada tahap yang baik,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara.

 

Menurut Zainuddin, antara kerja-kerja naik taraf yang perlu diberi keutamaan adalah penanaman semula rumput, memperbaiki trek pejalan kaki serta membaikpulih outdoor gym bersama taman permainan.

 

Dalam lawatan sebelum ini pada November 2020, Zainuddin turut menyerahkan sumbangan berupa tiang gol dan bola sepak.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHLI MAJLIS