Paging Board LTAPP mudah urus sambut pengunjung

Oleh : S . HEMAWATHI

Gambar : ALISSALA THIAN

BAYAN LEPAS – Sistem Papan Tanda Standard atau paging board dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bermula 1 Mac lalu. Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang berharap, urusan menyambut pengunjung di LTAPP akan menjadi lebih mudah dengan kemudahan tersebut.

“Ini adalah perkhidmatan yang tidak berbayar dan beroperasi selama 16 jam sehari.

“Agensi pelancongan berdaftar dihendaki mendaftar di kaunter yang beroperasi di ruangan lobi untuk mendapatkan bingkai berwarna jingga bersaiz A4 (papan tanda), yang disediakan untuk mengisi nama penumpang dan butiran penerbangan (berwajib),” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang pada Majlis Pelancaran Paging Board di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Kanan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) LTAPP, Mohd. Arif Jaafar.

Menurut Mohd. Arif, kemudahan tersebut sekaligus akan meningkatkan imej serta kualiti pengurusan di LTAPP.

“Sebelum ini, kita dapat lihat pemandu teksi dan limousin menggunakan poster atau papan tanda biasa untuk menjemput penumpang.

“Penggunaan papan tanda pelbagai menyebabkan pelancong asing mengambil masa untuk mendapatkan agensi pelancongan yang ditetapkan.

“Selepas ini, ia digantikan dengan sistem papan tanda standard yang bukan sahaja lebih terurus, malah juga mudah,” jelasnya sebelum acara demonstrasi menggunakan paging board dilangsungkan.

Kaunter operasi paging board dibuka mulai jam 7 pagi sehingga 11 malam. LTAPP pada tahun 2015 menerima 6.25 juta penumpang, iaitu meningkat sebanyak 3.6 peratus berbanding 6.04 juta orang pada tahun sebelumnya.