Pakai larva lalat, tukar sisa organik jadi protein makanan haiwan ternakan – Datuk Bandar MBSP

Admin

BERTAM – Sisa organik seperti sayur-sayuran dan buah-buahan rosak di Pasar Awam Kepala Batas akan dikumpulkan untuk dijadikan makanan larva lalat baka ‘Black Soldier Fly’.

Larva tersebut kemudiannya akan dikitarkan semula menjadi makanan ternakan seperti ayam, ikan dan sebagainya; sementara, sisa baki lain akan dijadikan baja organik untuk aktiviti pertanian.

Mengulas lanjut, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, kaedah pengkomposan sisa organik sebegitu perlu demi menjadikan Seberang Perai sebagai bandar raya natural karbon pada tahun 2030 dan bandar raya sifar karbon pada 2050.

“Bandaraya Seberang Perai telah menentukan hala tuju yang jelas iaitu mensasarkan untuk mengurangkan 50 peratus pelepasan karbon menjelang tahun 2022 iaitu kurangkan penghasilan karbon daripada 8.0 tan setara CO2 per kapita kepada 4.0 tan setara CO2 per kapita.

“Serangga merupakan teknologi semulajadi hebat, seterusnya dapat digunakan untuk proses kitar semula yang bebas daripada penggunaan bahan kimia berbahaya serta mengurangkan kos, tenaga serta pencemaran alam.

“Ini, merupakan ‘transforming waste to protein’ dalam usaha mengitar semula sisa organik kembali ke alam sekitar dan secara langsungnya mengurangkan kesan pencemaran di persekitaran kita,” jelasnya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pengumpulan Sisa Organik Pasar Awam Kepala Batas Untuk Pengkomposan dekat Pasar Awam Kepala Batas di sini pada 21 Jun 2020.

ACARA gimik perasmian Majlis Pelancaran Pengumpulan Sisa Organik Pasar Awam Kepala Batas Untuk Pengkomposan dekat Pasar Awam Kepala Batas di sini pada pagi tadi. 
SR. Rozali Mohamud diiringi Ir. Rosnani Mohamud dalam sidang media di sini tadi.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmud serta beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pada tahun 2019, Rozali memberitahu bahawa MBSP berjaya mengurangkan penghasilan karbon per kapita sebanyak 16.5 peratus, iaitu dengan bacaan sebanyak 6.88 tan CO2eq seorang berbanding 8.24 tan CO2eq seorang (2015).

“Pemanasan global akan mengakibatkan (bongkah) ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan mencair, aras air meningkat…akhirnya kita akan melihat taburan hujan sangat luar biasa tidak kira musim (bertembung dengan limpahan) air parit monsun, banjir besar seperti yang terjadi pada bulan Oktober 2017 dulu, dan sebagainya.

“Sebab itu, MBSP komited untuk bersama bandaraya-bandaraya lain di dunia untuk menangani perubahan cuaca supaya dapat mengehadkan pemanasan global 1.5 darjah Celcius,” ujarnya sambil menyatakan MBSP komited untuk menjadi Bandar Raya Pintar pada tahun 2030, sebagaimana digagaskan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam wawasan Penang2030.

SR. Rozali Mohamud mendapatkan maklum balas penjaja lokal mengenai aktiviti perniagaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di kompleks Pasar Awam Kepala Batas di sini.

Justeru, Rozali memberitahu bahawa projek pengkomposan sisa organik secara semulajadi berkaitan akan diusahasama dengan ejen pelaksana Syarikat Al-Ansar Integrated Sdn. Bhd. dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“MBSP senantiasa berkolaborasi dengan rakyat, agensi-agensi, juga pihak universiti, seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk penghasilan teknologi dalam permainan hijau; kita (MBSP) berkolaborasi dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam kerja-kerja pemandulan anjing; kolaborasi dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam landskap; kolaborasi dengan USM dalam projek padi organik.

“Dan, terbaru pada pagi ini, kita (MBSP) berkolaborasi dengan USM juga dalam program ‘waste to protein’ serta ‘waste to compose.

“Syarikat Al-Ansar akan menyediakan tong sampah untuk pengasingan sampah jenis sisa organik, seperti sayur-sayuran yang rosak atau tidak boleh dijual.

“Sisa organik yang dikumpulkan ini akan dibawa balik ke ladang untuk proses seterusnya dengan menggunakan larva dihasilkan lalat baka ‘Black Soldier Fly’,” ulasnya.

ANSARUFFIN Othman.

Dalam bicarawara berasingan selepas itu, Pengarah Urusan Al-Ansar Integrated, Ansaruffin Othman berkata bahawa ‘Black Soldier Fly’ adalah ‘lalat sihat’, tidak seperti lalat biasa lain yang membawa pelbagai bakteria kepada manusia.

Tambah beliau, kajian mengenai pengkomposan sisa organik dengan menggunakan larva ‘Black Soldier Fly’ telah dilaksanakan sejak tujuh tahun lepas, termasuk kira-kira dua tahun bersama-sama satu pasukan penyelidik bidang mikrobiologi dari USM.

“Sebenarnya ‘Black Soldier Fly’ hidup di kawasan Khatulistiwa, maka, secara semulajadi memang ada di sekeliling kawasan tempat kita juga.

“Larva yang dihasilkan lalat baka ‘Black Soldier Fly’ mempunyai elemen anti mikrop (yang berfungsi) membunuh kuman sama sekali, tidak seperti lalat biasa yang membawa mikrob seperti (bakteria) Salmonella.

“Hasil kajian menunjukkan baja organik dihasilkan (daripada tinja larva ‘Black Soldier Fly’) berfungsi untuk mencegah serangan serangga pada pokok.

“(Jenama) baja pokok yang baik mesti ada kandungan ‘Chitosan’, dan dalam (larva) yang dihasilkan ‘Black Soldier Fly’ ada ‘Chitosan’ secara semulajadi.

“‘Black Soldier Fly’ akan menelurkan larva sahaja, larva yang (dibiakkan secara terkawal) akan dijadikan makanan pada ternakan di ladang kami.

“Sementara, kumuhan atau tinja yang dihasilkan larva ini akan dijadikan baja organik yang sesuai dengan jenis tumbuhan,” jelasnya sambil memberitahu bahawa baja organik yang dihasilkan berkaitan sesuai untuk semua jenis tanaman.

Sehingga kini, Ansaruffin Othman menyatakan bahawa satu ekar tanah dijadikan ladang larva ‘Black Soldier Fly’ manakala satu ekar lagi adalah ladang ternak ayam komersial.

“Tiap-tiap hari, kita mampu menghasilkan 70 kilogram (kg) larva secara terkawal supaya tidak mengganggu ekosistem lawasan sekeliling, untuk projek pengkomposan sisa organik ini,” ujarnya.

Setakat ini, menurut beliau, larva ‘Black Soldier Fly’ dihasilkan dikitar semula sebagai makanan ternakan ayam di ladang berkenaan sahaja.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB