Tubuh Penang Future Foundation Fund hargai bakat negara

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri baru-baru ini meluluskan penubuhan Penang Future Foundation Fund yang bakal dibiayai penderma serta syarikat swasta sebagai biasiswa pelajaran kepada bakat negara yang layak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, program terbaru tersebut sekaligus memberi peluang kepada mereka yang berbakat untuk berkhidmat di Pulau Pinang selepas tamat pengajian kelak.

“Ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia, walaupun keutamaan secara amnya akan diberikan kepada penduduk Pulau Pinang, dan semua pelajar ditaja dikehendaki bekerja selama lapan tahun di Pulau Pinang dengan
pilihan untuk berada dalam sektor awam atau swasta,” ujarnya dalam kenyataan media di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, langkah itu wajar memandangkan Kerajaan  Persekutuan dilihat gagal serta meminggirkan bakat negara, yang
dianggarkan lebih 2 juta orang meninggalkan tanah air sejak merdeka pada tahun 1957.

Tambah beliau, bakat negara terbabit meninggalkan tanah air ini bukan sahaja kerana tertarik pada tawaran gaji lebih tinggi, malah, dasar-dasar yang lebih berperikemanusiaan di luar negara, seperti keadilan, hak asasi
manusia, demokrasi, integriti serta ganjaran terhadap kerja keras.

“Malangnya, mereka (2 juta bakat negara terbabit) telah digantikan dengan sehingga 5 juta pekerja tidak mahir dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Vietnam, yang menyebabkan bukan sahaja masalah sosial,
tetapi, menyumbang ke arah kerugian pertukaran mata wang asing yang besar,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Difahamkan, lebih RM20 bilion dibawa pulang oleh buruh asing ke negara masing-masing pada tahun 2012 dan meningkat hampir RM30 bilion pada tahun lepas.

Menyedari hakikat itu, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri turut  melancarkan Penyumberan Luar Proses Perniagaan (BPO) bernilai RM3.3 bilion pada 1 Mac lepas di negeri ini sebagai sebuah lagi hab BPO di
dunia, demi menghargai bakat negara.

Itu, jelasnya, tidak termasuk kerjasama Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Singapura melalui Temasek Holding yang bernilai RM11.3 bilion, untuk mengembangkan sektor pembuatan dan perkhidmatan setempat, dengan penumpuan pada BPO juga.

Guan Eng memberitahu, beliau percaya semua rancangan tersebut  mampu dicapai memandangkan Pulau Pinang adalah negeri teratas dalam pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia dalam tahun 2010 hingga Ogos 2013, iaitu menyumbang RM19.7 bilion atau hampir 20 peratus kepada FDI Malaysia.

“Kejayaan ini dapat dilihat apabila Pulau Pinang memerlukan sekurang-kurangnya 20,000 pekerja tambahan dan syarikat-syarikat banyak membuat iklan untuk kakitangan di semua peringkat,” katanya.

Justeru, beliau berharap lebih ramai penderma dan syarikat swasta melaksanakan pelaburan modal insan dengan menyumbang dana kepada badan yang baru ditubuhkan Kerajaan Negeri, supaya lebih ramai bakat negara terus dihargai di negeri ini kelak.

Sementara itu, Guan Eng turut mengumumkan peletakan jawatan Iskandar
Basha Abdul Kadir sebagai Pengerusi PDC Consultancy Sdn. Bhd. (PDCC) pada 6 Ogos tahun lepas dan Pengurus Besar PDCC pada 7 Januari lepas.

“Datuk Lee Kah Choon telah dilantik sebagai Pengerusi PDCC pada 12 Ogos 2013 dan Timbalan Pengurus Besar (II), Hartini Ali menggantikan Iskandar sebagai Pengurus Besar pada PDCC 7 Januari 2014.

“Walau bagaimanapun Iskandar kekal bertanggungjawab untuk projek Penang Hill Carpark sehingga tarikh siap pada 31 Ogos 2014,” ujar Guan Eng.