BUKIT TAMBUN – Arena hortikultur negeri Pulau Pinang melakar sejarah baharu apabila Pameran Orkid Klippa 2025 (Klippa Orchid Show 2025) buat julung kalinya dianjurkan di pusat membeli-belah Klippa, berhampiran Batu Kawan.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai ketika menyampaikan ucapan perasmian, berkata sebelum ini acara berkenaan dianjurkan di bahagian pulau, namun pada tahun ini ia memecahkan tradisi dengan penganjuran di tanah besar Seberang Perai.
“Ini merupakan detik bersejarah kerana dalam tempoh 67 tahun penubuhannya sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ini adalah kali pertama Persekutuan Persatuan Orkid Tanah Melayu (FOMOS) menganjurkan Pameran Orkid di Seberang Perai,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, di sini pada 14 Disember 2025.
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa secara tradisinya pameran orkid yang popular itu sering diadakan di Taman Botani Pulau Pinang, sebelum berpindah ke Straits Quay Retail Marina bagi memberi laluan kepada projek penaiktarafan Kereta Kabel Bukit Bendera.
Menurutnya lagi, kini daerah Seberang Perai Selatan turut menerima tempias daripada penganjuran acara utama negeri, selain Pameran Orkid Pulau Pinang 2025 yang telah berlangsung di sebelah pulau pada September lalu.
“Pameran Orkid Klippa 2025 ini akan berlangsung selama sembilan hari, bermula 13 hingga 21 Disember 2025 dan dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam,” jelas beliau.
Sementara itu, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik, yang berucap sebelum itu berkata, penganjuran Pameran Orkid Klippa 2025 menambah satu lagi daya tarikan pelancongan kreatif di Batu Kawan termasuk dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun.
Beliau turut berharap Batu Kawan akan terus menjadi destinasi pilihan utama bagi penganjuran pameran hortikultur, sama ada pada peringkat negeri mahupun antarabangsa.
Presiden FOMOS, Tony Tan Sin Hoe serta Timbalan Pengurus Pusat Membeli-belah Klippa, Jo Saw, turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB