Pameran topiari haiwan hijau gamit keterujaan pengunjung

BAGAN DALAM – Pameran 18 topiari haiwan hijau dekat Padang Pemuda Merdeka, di sini ternyata menggamit keterujaan pengunjung terutamanya kanak-kanak.

Antara topiari haiwan yang dipamerkan.

Biarpun sambutan diterima dilihat tidaklah semeriah semasa di Padang Kota beberapa minggu lalu, namun rata-rata pengunjung yang hadir dilihat begitu gembira dan seronok berswafoto bersama-sama replika haiwan yang terpamer indah.

Buletin Mutiara berkesempatan menebual beberapa pengunjung untuk melihat sejauh mana inisiatif diambil Kerajaan Negeri melalui pameran seperti ini memberi impak kepada usaha menghidupkan kembali bandar Butterworth yang sebelum ini hilang serinya.

Bagi peniaga dari Kepala Batas, ROHANA MOHD. SALEH, 41, berpendapat bahawa adalah lebih menyeronokkan sekiranya pameran berkenaan turut menyertakan beberapa topiari yang mempunyai unsur-unsur islamik.

Rohana Mohd. Saleh.

“Selain haiwan, unik juga sekiranya disertakan beberapa replika yang ada unsur-unsur islamik seperti bentuk kubah masjid, pokok-pokok yang dihiasai kaligrafi jawi dan sebagainya untuk menarik kehadiran pengunjung dewasa.

“Pameran seperti ini sangat unik kerana jarang-jarang dapat dilihat dan sudah tentunya dapat menarik kehadiran pelancong sama ada dari dalam dan luar negeri,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, MOHD.  IZWAN ISMAIL, 36, seorang penjawat awam dari Bukit Mertajam mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan sebuah taman rekreasi yang dihiasai lebih banyak topiari haiwan hijau sebagai kawasan beriadah.

Mohd. Izwan Ismail.

“Kalau boleh buatlah sebuah taman rekreasi di Butterworth berkonsepkan hiasan haiwan-haiwan seperti ini kerana di sini tidak ada banyak tempat untuk bersantai bersama keluarga kecuali di tepi laut,” ulasnya mesra.

MUHAMAD FAIZ HAZIM FAZLI, 11, merupakan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bumbung Lima, Bertam turut berkongsi keterujaannya apabila berpeluang mengunjungi pameran tersebut buat kali kedua.

Muhamad Faiz Hazim Fazli.

“Saya pernah melihat haiwan-haiwan cantik dan unik ini semasa di Padang Kota dan bila dapat tahu ada pameran yang sama di Butterworth, saya ajak mak datang ke sini,” ujarnya dengan perasaan gembira.

Nada sama disuarakan KHAIRINA FAIZAL, 10, pelajar dari SK Bagan Jermal yang menyatakan seronok apabila berpeluang melihat replika-replika haiwan tersebut dengan lebih dekat.

Khairina Faizal.

Manakala ROSMARADILA OTHMAN, 32, seorang penjawat awam, berpendapat adalah lebih baik sekiranya pihak berkaitan menyediakan tempat duduk dan teduhan demi keselesaan pengunjung terutamanya bagi warga emas.

“Sekiranya pameran ini diadakan lagi pada masa akan datang, saya cadangkan agar bina sedikit teduhan selain kerusi atau tempat duduk yang sesuai.

Rormaradila Othman.

“Lebih menyoronokkan lagi jika ruang pameran lebih luas dengan menyediakan permainan kanak-kanak kerana selain berswafoto dan belajar tentang binatang, mereka boleh juga bermain. Jadi, bolehlah kami luangkan lebih masa di sini,” jelasnya.

AZWA DIN, 34, seorang suri rumah berasal dari Langkawi dan menetap di Bertam pula meluahkan rasa gembira dengan penganjuran pameran-pemeran yang disifatkannnya lebih mesra alam.

“Bila ada pameran seperti ini, kita ada tempat yang menyeronokkan untuk beriadah bersama keluarga.

“Kalau boleh perbanyakkan lagi haiwan-haiwan yang bersaiz besar kerana akan lebih menarik perhatian kanak-kanak,” sarannya.

ZARINA MOHD SALEH, 55, seorang suri rumah berkata, bandar Butterworth yang sangat meriah pada suatu masa dahulu kini dilihat semakin suram.

Zarina Mohd. Saleh.

“Baguslah jika lebih banyak program-program seperti ini diadakan kerana akan menarik kembali orang ramai untuk datang ke Butterworth,” ujarnya.

Terdahulu, Exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Yeoh Soon Hin berkata bahawa pameran ‘Animal Kingdom in the City’ tersebut adalah bersempena Minggu Kesenian Pulau Pinang yang diharap dapat menambah elemen tarikan pelancong ke negeri ini terutamanya di Seberang Perai.

Difahamkan, pameran berkenaan akan berlangsung sehingga 21 April ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS