Pampasan nelayan bagi PSR belum dimuktamadkan, respons Kon Yeow

Admin

AIR ITAM – Kerajaan Negeri belum memuktamadkan soal cadangan pampasan kepada para nelayan pantai yang bakal terjejas dek projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perarakan nelayan pantai Pulau Pinang dan Perak serta anggota beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke Parlimen yang dijadualkan esok sebagai membantah projek PSR tersebut.

Beliau menyatakan bahawa nelayan Pulau Pinang terbabit tidak menuntut pampasan dalam bentuk duit ringgit, namun dalam bentuk barang kelengkapan termasuk enjin bot.

“Memang ada beberapa NGO nelayan masih membantah PSR.

“(Bentuk pampasan) apa yang dicadangkan (dalam proposal) adalah lebih besar daripada pakej yang ada pada Kerajaan.

“Dalam kes ini, mereka tidak menyentuh pampasan dalam (bentuk) tunai, tetapi pampasan secara kelengkapan supaya mereka dapat meneruskan kerja-kerja menangkap ikan,” jelas Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kem Model Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2019 yang melibatkan hampir 100 peserta termasuk pelajar sekolah dari beberapa negara, di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling di sini 10 Julai 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang serta wakil kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik turut sertai acara tahunan tersebut di sini.

Tambah Kon Yeow, beliau melihat perkembangan tersebut adalah positif yang mana golongan berkaitan juga berasa perlu untuk berbincang serta mengambil pendirian lebih jelas bagi pihak masing-masing.

“Isu pampasan bukan isu yang senang, kemungkinan melibatkan beberapa pusingan perbincangan,” responsnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi kepada pemberita.

Kon Yeow bagaimanapun memberitahu bahawa nelayan pantai negeri Perak yang turut membantah projek PSR juga kemungkinan kerana kerja-kerja penambakan akan membabitkan angkutan tanah dari negeri berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD