Pampasan rumah : Pakatan tambah RM22 ribu

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

RAMLAH Hashim (kanan) dan Abdul Rahman Seeni Rawther.
RAMLAH Hashim (kanan) dan Abdul Rahman Seeni Rawther.

TELUK KUMBAR – Tidak sanggup melihat rakyat Pulau Pinang terus ditindas, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya memperjuangkan nasib penduduk Pekan Teluk Kumbar di sini dengan memperoleh pampasan RM42,000 berbanding jumlah RM20,000 yang ditawarkan pemaju sebelum ini.

Menurut salah seorang penduduk, Ramlah Hashim, 60, sebelum Kerajaan Negeri kini (PR) campur tangan, seramai 15 penduduk yang terlibat hanya ditawarkan pampasan sebanyak RM20,000 oleh pihak pemaju.

“Kami menerima surat pindah pada tahun 2009 dan yang paling menyedihkan adalah kami hanya diberikan tempoh sebulan untuk mengosongkan rumah masing-masing.

“Kami semua tidak bersetuju. Walaupun tanah ini milik ceti sebelum dibeli oleh pemaju, kami tetap membayar sewa tapak dan bayar cukai hasil. Kami telah lama tinggal di sini. Tempoh sebulan yang diberi membebankan kami kerana kami tidak ada tempat tinggal lain,” katanya kepada Buletin Mutiara (BM) di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, suami Ramlah, Abdul Rahman Seeni Rawther, 70, menambah, ekoran tertekan dengan penindasan yang berlaku, para penduduk telah membuat keputusan untuk meminta bantuan daripada pihak Kerajaan Negeri iaitu Pegawai Penyelaras KADUN Bayan Lepas, Asnah Hashim dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Mohd. Yusoff.

“Alhamdulillah, setelah berjumpa dengan pihak Kerajaan Negeri, pemaju telah bersetuju untuk memberikan sebuah rumah flat kos rendah bernilai RM42,000 yang terletak di Pagar Buluh, Relau dan wang bagi menampung kos pindah sebanyak RM2,000,’’ ujar beliau.