Bukti Pakatan berjiwa rakyat : 11,596 rumah mampu milik siap dibina

Admin

Oleh: AINUL WARDAH  SOHILLI

BALIK PULAU – Sejumlah 3,806 unit perumahan kos rendah di seluruh negeri ini telah diluluskan pembinaannya oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) sehingga kini bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang memiliki rumah sendiri.

Pada masa sama, sebanyak 7,790 perumahan kos sederhana rendah yang berharga sekitar RM42,000 ke RM72,500 seunit turut diluluskan pada tempoh yang sama. Ini bermakna, dalam tempoh tiga tahun di bawah pemerintahan PR, sebanyak 11,596 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah telah diluluskan oleh pihak Kerajaan Negeri.

Terbaru, pembinaan pangsapuri kos rendah, Desa Nipah di Sungai Jalan Nipah, Balik Pulau juga telah siap dibina. Selain menyelesaikan masalah penempatan setinggan di kawasan tersebut, projek yang diimplimentasikan menerusi konsep bina dan jual memberi jaminan kepada pembeli agar tidak ditipu atau ditindas garagara projek perumahan yang terbengkalai.

Pada masa sama, tender bagi projek perumahan terbaru di Batu Kawan (berhampiran susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang), Seberang Perai Selatan yang membabitkan 7,300 unit pangsapuri bernilai antara RM72,500 hingga RMRM220,000 juga telah dibuka kini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai, terdapat beberapa pemaju perumahan telah mengemukakan usul pembangunan perumahan kepada Kerajaan Negeri.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah mengembalikan semula usul pembangunan tersebut kerana kami (Kerajaan Negeri) menginginkan pemaju-pemaju tersebut mengemukakan usul pembangunan yang mampu mengatasi masalah penempatan setinggan di beberapa daerah di Pulau Pinang,’’ katanya ketika mengadakan lawatan ke Desa Nipah di Balik Pulau baru-baru ini.

Tambah Hon Wai, pangsapuri Desa Nipah merupakan contoh terbaik membuktikan bahawa Kerajaan Negeri PR bukan sahaja meluluskan projek-projek perumahan mewah malah turut memperhebatkan pembinaan uni-tunit perumahan kos rendah dan mampu milik.

“Melalui konsep perumahan bina dan jual, pembeli hanya perlu membayar 10:90, iaitu 10% sebelum pembinaan manakala baki 90% lagi setelah unit tersebut mendapat Sijil Layak Menduduki (CFO) dan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Pembeli juga berhak memeriksa terlebih dahulu sebelum melangsaikan baki 90% tersebut. Risiko yang ditanggung pembeli juga rendah kerana tidak perlu membayar faedah ke atas pinjaman semasa perumahan,” jelasnya. 

Di bawah Kerajaan Negeri PR dan Agensi Kerajaan Negeri, projek perumahan Kos Rendah dan Sederhana Rendah seperti berikut yang dibangunkan sejak 2008 adalah seperti berikut :

Kos Rendah

Kos Sederhana Rendah

Jumlah

Kerajaan 1194 2227 3421
Swasta 2612 5563 8175
Jumlah 3806 7790 11596