SHAH ALAM, SELANGOR – Skuad para olahraga Pulau Pinang akhirnya berjaya meraih pingat gangsa menerusi acara rejam lembing wanita kategori F13 pada Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 Selangor yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Shah Alam, hari ini.
Kejayaan itu disumbangkan atlet berusia 28 tahun, Siti Aliza Azaman, yang mencatatkan rejaman sejauh 11.11 meter (m) pada saingan peringkat akhir untuk mengesahkan tempat ketiga di podium.
Pingat emas acara berkenaan menjadi milik atlet Johor, Nur Arinah Nor Asibah @ Azman, selepas mencatatkan rejaman terbaik sejauh 16.11m.
Pingat perak pula diraih atlet Sarawak, Noor Kalsum Fadil, yang mencatatkan jarak 14.09m.
Beralih ke acara rejam lembing lelaki kategori F13, atlet Pulau Pinang, Benny Koay Hean Seng, 22, terpaksa akur pada kedudukan keempat dengan catatan 35.83m.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Muhammad Farhin Shamsul Amri, 26, menduduki tempat ketujuh dengan catatan 17.22m.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SIEW CHIA EN