GEORGE TOWN – Kapasiti efektif di dua empangan utama di Pulau Pinang pada hari ini menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tempoh sama bulan lalu berikutan ada taburan hujan berperingkat di kawasan tadahan air (KTA).
Berdasarkan tinjauan pada pagi ini, Empangan Teluk Bahang mencatatkan kapasiti efektif pada paras 54.6 peratus, manakala Empangan Air Itam berada pada 63.6 peratus, berbanding 53.07 peratus dan 54.1 peratus masing-masing pada bulan lalu.

Meskipun, dijangkakan terdapat sedikit peningkatan pada Ogos, namun cuaca kering diramalkan berterusan sehingga September memandangkan negara masih berada dalam fasa peralihan Monsun Barat Daya.
Berdasarkan laporan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), pada Julai lalu operator bekalan air itu melaksanakan protokol cuaca kering di Empangan Teluk Bahang kerana jumlah hujan yang diterima di KTA hanya 175 milimeter (mm), tidak mencukupi untuk menambah kapasiti simpanan.
Sementara itu, Empangan Air Itam merekodkan hujan sebanyak 64mm di KTA dengan kapasiti efektif hanya menurun sedikit, iaitu 6.3 peratus, hasil pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP) yang bertujuan mengelakkan gangguan bekalan di kawasan Air Itam, Farlim dan Paya Terubong.
Dalam pada itu, PBAPP merayu semua pengguna supaya menggunakan air secara berhemat dan akan terus memantau perkembangan cuaca serta pola taburan hujan dari masa ke masa.
Bagi Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD), kapasiti efektif kekal kukuh pada paras 91.8 peratus setakat 29 Ogos 2025.
Walau bagaimanapun, PBAPP menegaskan bahawa EMD berfungsi sebagai empangan simpanan bagi pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua. Rizab air di sini hanya dilepaskan apabila PBAPP tidak dapat mengabstrak air mentah mencukupi dari Sungai Muda.
Hal ini berbeza dengan Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam yang merupakan sumber bekalan air harian.
Untuk tips penjimatan air, sila layari https://pba.com.my/ .

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di utara Semenanjung, termasuk Pulau Pinang, sejak awal pagi tadi hingga jam 9.00 pagi.
Ramalan cuaca menunjukkan Pulau Pinang akan menerima hujan serta ribut petir di kebanyakan kawasan sehingga petang ini dengan suhu minimum 25°C dan maksimum 32°C.
Pola cuaca ini dijangka berterusan sehingga 31 Ogos 2025, dengan ribut petir pada waktu pagi di kebanyakan kawasan, manakala pada sebelah malam tiada hujan dilaporkan.

Pada 6 Ogos lalu, Pengarah Pejabat MetMalaysia Pulau Pinang, Ramlan Ab. Rahman memberitahu bahawa Monsun Barat Daya yang bermula sejak Mei lalu dijangka berterusan sehingga September ini.
“Keadaan cuaca dipengaruhi oleh tiupan angin dari barat daya yang membawa kelembapan udara rendah serta mengurangkan pembentukan awan di kebanyakan kawasan.
“Walau bagaimanapun, kejadian hujan berperingkat berpotensi berlaku, khususnya pada sebelah pagi akibat fenomena garis badai yang boleh berlanjutan selama beberapa jam,” katanya.
Maklumat cuaca semasa boleh dirujuk melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia atau aplikasi mudah alih myCuaca atau hubungi shotline 1300-22-1638.