‘Pasangan patriotik’ tak kisah belanja RM1,500 hias rumah dengan 3,000 helai Jalur Gemilang

MOHD. Tuah Ismail (kemeja ungu) bersama-sama Ahli-ahli JKKK Pulau Betong sempat merakam momen indah di hadapan kediaman 'pasangan patriotik' di Kampung Perlis baru-baru ini.

PULAU BETONG – Atas semangat patriotik dan cintakan tanah air, sepasang suami isteri dari Kampung Perlis, Balik Pulau tidak lokek membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk memasang 3,000 helai Jalur Gemilang menghiasi kediaman mereka.

Keunikan kediaman Tajuddin Abdul Rani dan isterinya, Normala Md. Desa itu menarik minat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail.

Mohd. Tuah ketika berkunjung ke kediaman pasangan tersebut pada 28 Ogos lalu menyatakan rasa kagum akan semangat patriotik yang ditonjolkan pasangan tersebut bagi menyambut ketibaan tarikh keramat 31 Ogos.

Saya rasa sikap patriotik ini wajar dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia khususnya di Pulau Pinang dalam menunjukkan rasa cinta kepada negara… tidak banyak sedikit pun jadilah,” ringkas beliau kepada Buletin Mutiara.

Normala ketika ditemui menyatakan bahawa menjadi satu kemestian buat beliau dan suami untuk menghiasi terataknya dengan Jalur Gemilang setiap tahun menjelang kemerdekaan.

Tiap-tiap tahun kami akan ambil kesempatan sempena merdeka untuk hias rumah sebagai satu semangat patriotik.

Dan setiap kali nak sampai sambutan kemerdekaan… saya dan suami mesti teruja dan selalunya wang belanja yang diberi oleh anak-anak digunakan bagi menghias rumah ini,” ujarnya yang mesra disapa sebagai cikgu.

Hadir sama, Penghulu Kanan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya (DBD), Mohd. Farouk Varusai Mohd dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) bagi DUN Pulau Betong.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADUN