Pasar Awam Bagan Ajam kembali beroperasi

Admin

SEBERANG JAYA – Pasar Awam Bagan Ajam yang terletak di Jalan Terbilang dibuka semula untuk operasi bermula hari ini setelah ditutup selama 10 hari bagi proses sanitasi selepas didapati ada jangkitan kes positif COVID-19.

 

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pihaknya telah menerima kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung pengoperasian semula pasar tersebut.

 

“Semuanya dalam keadaan terkawal dan pihak MBSP telah membenarkan peniaga membuka sepenuhnya.

 

Jangan bimbang Pasar Awam Bagan Ajam selamat, boleh dikunjungi dan boleh membeli-belah keperluan harian.

 

“(Cuma) pengunjung perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP), jangan bersesak dalam kawasan pasar meskipun telah mengimbas kod QR MySejahtera, saring suhu badan serta memakai pelitup muka,” ujarnya pada sidang media sejurus selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP yang disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook rasmi Majlis pada pagi ini.

 

MESYUARAT Majlis Penuh secara virtual ini turut disiarkan melalui platform Facebook rasmi Majlis Bandaraya Seberang Perai.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rohani Mahmod; barisan Ahli Majlis serta Ketua Jabatan berkaitan.

 

Dalam sidang media sama, Rozali menasihati peniaga yang masih belum menyerahkan keputusan ujian swab kali kedua supaya segera berbuat demikian.

 

“Pihak MBSP memberi amaran keras untuk menarik balik lesen dan petak perniagaan sekiranya peniaga gagal menunjukkan keputusan ujian swab dan kita (MBSP) beri tempoh sehingga Isnin ini (31 Mei 2021),” tegasnya yang berharap pihak berkaitan segera tampil bagi membolehkan mereka membuka semula perniagaan.

 

Bercakap mengenai tindakan segelintir pihak yang didapati merosakkan kawat berduri yang dipasang di Pasar Awam Bukit Mertajam dan Pasar Awam Taman Berjaya, Rozali berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya pelaku dapat dijejak dan dibuktikan bersalah melakukan kerosakan harta awam.

 

“Perkara begini tidak akan diambil ringan kerana ia melibatkan soal penjagaan keselamatan dan kesihatan awam.

 

“(Dan) atas faktor tersebut, tindakan boleh diambil…bagi peniaga, lesen akan ditarik balik dan sekiranya orang awam, mereka akan didakwa di mahkamah jika disabitkan kesalahan,” katanya sambil memaklumkan hanya segelintir sahaja yang berkelakuan sebegitu.

 

SR. Rozali Mohamud (dua dari kanan) menerima sumbangan cecair pensanitasi daripada salah sebuah syarikat swasta berkaitan sejurus sidang media pagi ini.

 

 

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI