Pasar Awam Bukit Mertajam beroperasi semula dengan pemantauan ketat

Admin

BUKIT MERTAJAM – Pasar Awam Bukit Mertajam yang ditutup sejak 31 Mei lalu ekoran kewujudan Kluster Jalan Pasar hari ini telah beroperasi semula seperti sedia kala dengan pemantauan ketat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pasar berkenaan telah dibenarkan untuk menjalankan operasi semula setelah semua peniaga dan pekerja melepasi tempoh Incubation Period COVID-19 selama 10 hari.

Jelasnya, sehingga 8 Jun 2021 keseluruhan 253 peniaga telahpun disaring dan 31 daripadanya adalah positif.

“MBSP bersifat tegas iaitu mana-mana peniaga dan pekerja yang masih berada dalam pengawasan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKD SPT) dan belum tamat tempoh kuarantin tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang aktiviti di pasar ini.

“Selain itu, jika pemilik premis atau peniaga yang menggajikan khidmat pekerja warga asing, mereka dikehendaki menjalankan ujian calitan (swab test) dan mestilah disahkan negatif sebelum dibenarkan bekerja.

“Kita (MBSP) akan membuat pemeriksaan dan pemantauan serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan yang diperuntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (AKTA 342) ke atas peniaga yang tidak mematuhi peraturan dan ingkar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” tegasnya dalam sidang media ketika melakukan pemantauan ke Pasar Awam Bukit Mertajam sebentar tadi bersama-sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Hadir sama Ahli-ahli Majlis MBSP dan Pengarah Pelesenan MBSP, Mohd. Faidrol Mohd. Radzi.

Bagi memastikan keadaan terkawal, Majlis sejak 8 malam semalam telah mula melakukan pemantauan di tapak bagi memastikan segala peraturan diikuti.

Difahamkan bahawa daripada keseluruhan 253 peniaga, hanya kira-kira 93 peniaga atau 37 peratus sahaja yang memulakan operasi perniagaan masing-masing hari ini.

Dalam pada itu selain para peniaga, Rozali turut mengingatkan orang ramai agar lebih berdisplin dan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya.

“Pastikan semua SOP diikuti serta elakkan bersesak atau berpusu-pusu di suatu kawasan atau kedai jualan bagi mengelakkan penularan dan jangkitan,” seru beliau.

Berucap pada sidang media sama, Jagdeep memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri untuk teruskan pemantauan secara tegas.

“Petugas dan wira di lapangan perlu teruskan ketegasan ketika memantau, ini termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua agensi berkuasa.

“Jika terdapat ketidakpatuhan terus ambil tindakan, kita tiada pilihan untuk menang dalam peperangan ini,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR