PERBADANAN Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) menyusun langkah strategik untuk mentransformasikan fasiliti sukan dan kawasan lapang negeri menjadi aset awam yang lebih aktif, berdaya maju serta mampu menjana pendapatan.
Pengerusinya, MUZAKIR BUYONG MOKHTAR berkata, PSDKLPP bukan sekadar memberi tumpuan kepada penyelenggaraan fasiliti, sebaliknya mahu mengoptimumkan penggunaannya bagi manfaat rakyat serta menyokong kemampanan kewangan Perbadanan menjelang 2030.
Menurutnya, antara agenda utama ialah menaik taraf fasiliti, memperluas penggunaan ruang untuk aktiviti sukan, rekreasi, komuniti dan komersial serta mengambil alih secara berfasa tanah lapang milik Kerajaan Negeri yang tidak mempunyai pengurusan khusus.
“Kita mahu memastikan setiap aset yang ada digunakan secara optimum.
“Stadium bukan hanya untuk perlawanan, manakala kawasan lapang pula perlu diurus dan dimanfaatkan untuk rakyat,” katanya dalam wawancara khas bersama wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, pada 21 September lalu.

PSDKLPP ditubuhkan berdasarkan Enakmen Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang 2017 yang diluluskan dalam Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-13 pada 25 Mei 2017 dan diwartakan pada 28 September 2017.
Perbadanan itu kini beroperasi secara rasmi berpusat di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, dengan mandat untuk menyelaras, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan serta kawasan lapang bagi kegunaan rakyat.
Dari fasiliti kepada ekosistem sukan
Berpaksikan visi Penang2030 dan slogan “Think Local Act Global”, Mozakir berkata bahawa PSDKLPP membawa visi menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi yang lengkap serta terkini, selain mempelbagaikan penggunaan stadium dan kawasan lapang bagi meningkatkan pendapatan negeri.
“Dalam masa sama, misi kita adalah menjadikan kemudahan sukan dan rekreasi di bawah pengurusan PSDKLPP sebagai pilihan utama penganjuran acara sukan dan rekreasi di peringkat antarabangsa.
“Perkara paling penting ketika ini ialah mengubah persepsi bahawa stadium dan kompleks sukan hanya digunakan ketika berlangsungnya kejohanan.
“Kalau kita ada stadium yang besar tetapi penggunaannya hanya beberapa kali setahun, itu belum cukup dan kita perlu cari cara untuk menghidupkan fasiliti ini sepanjang tahun.
“Acara sukan, karnival, ekspo, konsert, program komuniti, aktiviti rekreasi dan pelbagai bentuk penggunaan lain perlu diterokai selagi tidak menjejaskan fungsi serta aset sedia ada,” jelasnya.
Antara aset utama di bawah pengurusan langsung PSDKLPP ialah Stadium Negeri Pulau Pinang, Dewan Millenium, Kompleks Sukan Balik Pulau, Kompleks Sukan Jalan Betek, Kompleks Sukan Pokok Sena, Taman Kejiranan Taman Areca dan Taman Rimba Bandar WoodHAVEN.
Turut berada dalam ekosistem pengurusan dan pembangunan PSDKLPP ialah Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony Seberang Jaya, Kolam Renang Awam Seberang Jaya, Stadium Mini Permatang Rawa serta Nibong Tebal Arena.
Stadium Negeri Batu Kawan nadi Sport City
Antara aset paling strategik ialah Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan yang mempunyai kapasiti sehingga 40,000 penonton, lengkap dengan trek balapan mengikut piawaian IAAF (World Athletics) dan padang bola sepak berspesifikasi FIFA.
Kemudahan itu turut dilengkapi papan markah digital
Diod Pemancar Cahaya (LED), bilik persalinan atlet, bilik sidang media, bilik orang kenamaan (VIP), bilik mesyuarat, kaunter tiket serta fasiliti sokongan seperti surau, tandas dan bilik kecemasan.
Lebih menarik, kawasan parkir seluas 11.3 ekar dengan kapasiti 4,600 kenderaan menjadikan stadium berkenaan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai lokasi pelbagai acara berskala besar.
Menurut Mozakir, perancangan sedang digerakkan untuk menjadikan kawasan sekitar Stadium Negeri sebagai sebuah Sport City, dengan gabungan fasiliti sukan, ruang rekreasi dan aktiviti komersial.
“Visi kita ialah supaya orang datang ke sini bukan hanya apabila ada perlawanan bola sepak.
“Kita mahu kawasan ini hidup, ada aktiviti pada waktu siang dan malam, ada taman bunga, pencahayaan yang menarik, gerai makanan dan ruang untuk keluarga beriadah.
“Apabila mempunyai aktiviti secara berterusan, kawasan ini akan menarik lebih lebih ramai pengunjung, penganjur dan seterusnya membuka ruang ekonomi kepada komuniti,” katanya.

Kawasan lapang diberi nafas baharu
Dalam memastikan manfaat pembangunan tidak tertumpu kepada stadium dan kompleks sukan sahaja, PSDKLPP turut menyasarkan pengambilalihan tanah lapang milik Kerajaan Negeri yang tidak mempunyai pengurusan khusus untuk diselenggara secara berfasa.
Menurut Mozakir, fokusnya adalah terhadap tanah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan kawasan yang tidak diselenggara dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan.
“Kita tidak mahu berlaku pertindihan, jadi kalau pihak Majlis sudah menyelenggara sesuatu kawasan dengan baik, kita tidak perlu mengambil alih.
“Sebaliknya, kalau ada tanah lapang milik negeri yang tidak mempunyai pengurusan dan boleh dimanfaatkan untuk rakyat, kita akan lihat bagaimana kawasan itu boleh dibangunkan dan diselenggara,” katanya.
Pendekatan itu dilihat mampu memperluas ruang rekreasi awam serta menyediakan lebih banyak kawasan hijau yang boleh dinikmati rakyat tanpa bayaran.
Antara contoh pembangunan berorientasikan komuniti ialah Taman Kejiranan Taman Areca seluas 3.2 ekar yang menampilkan zon bertema seperti Taman Perak, Taman Rama-Rama, taman permainan kanak-kanak dan taman komuniti.
Kemudahan seperti Family Square, gimnasium luar, laluan pejalan kaki berteduh, kerusi rehat dan pavilion turut disediakan.
Sementara itu, Taman Rimba Bandar WoodHAVEN seluas 6.5 ekar di Jalan Betek, Bukit Mertajam pula menawarkan konsep rekreasi hijau dengan family lawn, taman permainan kanak-kanak, trek berjalan dan berlari, tapak perkhemahan serta zon parkir khas karavan.
Aset lama dihidupkan semula
Transformasi PSDKLPP turut menyaksikan beberapa fasiliti yang sebelum ini terbiar diberi nafas baharu menerusi kerjasama strategik bersama sektor swasta.
Antaranya Stadium Mini Permatang Rawa yang pernah terbiar selama beberapa dekad kini mempunyai padang bola sepak sintetik, gelanggang futsal dan pickleball, selain astaka, ruang parkir, gerai makanan, surau dan tandas awam.
Begitu juga Nibong Tebal Arena yang dibangunkan di atas tapak bekas kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) seluas 2.47 ekar dan kini menampilkan enam gelanggang badminton serta sebuah gelanggang pickleball.
Di Seberang Jaya pula, Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony dibangunkan semula sebagai hab sukan moden dengan padang bola sepak sintetik, gelanggang pickleball, futsal dan dewan badminton tertutup.
Kolam Renang Awam Seberang Jaya turut melalui proses naik taraf menyeluruh dengan bumbung baharu, bilik persalinan mesra keluarga, gimnasium, ruang rehat, tandas awam dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar.
Malah, aspek keterangkuman turut diberi perhatian apabila kemasukan percuma diperuntukkan kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Optimumkan aset
Dalam usaha mengoptimumkan aset, PSDKLPP kini memperkenalkan pendekatan lebih kreatif menerusi kepelbagaian bentuk penyewaan dan penggunaan ruang.
Antaranya ialah pakej “Wedding in the Stadium”, yang menawarkan pengalaman mengadakan majlis perkahwinan dalam suasana stadium.
Selain itu, fasiliti sukan bertaraf kejohanan dibuka untuk kegunaan awam, pertandingan komuniti serta penganjuran acara peringkat antarabangsa.
Tapak kosong dan ruang komersial juga boleh disewa bagi tujuan ekspo, karnival dan aktiviti perniagaan, manakala penganjuran konsert dibenarkan dengan syarat perlindungan permukaan padang dipasang bagi memastikan keadaan rumput sentiasa terpelihara.
“Stadium ini dibina dengan kos yang besar, jadi kita perlu memastikan kemudahan ini digunakan dengan optimum.
“Namun, kita juga mesti menjaga aset dan kalau ada konsert atau acara bukan sukan, perlindungan padang seperti terrafloor perlu digunakan supaya rumput tidak rosak,” katanya.


Kemampanan kewangan
Di sebalik agenda transformasi fizikal, satu lagi sasaran besar PSDKLPP adalah mencapai tahap kemampanan kewangan atau self-sustain menjelang 2030.
Mozakir berkata, buat masa ini, PSDKLPP masih menerima geran pengurusan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Namun katanya, trategi jangka panjang adalah mengurangkan kebergantungan tersebut secara berperingkat dengan meningkatkan hasil sendiri.
Antara sumber yang dikenal pasti termasuk pemasaran, sewaan ruang dan fasiliti, penajaan, penganjuran acara serta hak penamaan (naming rights) aset strategik.
Dalam konteks itu, PSDKLPP sedang giat melaksanakan proses Permohonan Cadangn (RFP) bagi pembangunan Sports City Batu Kawan serta RFP Hak Penamaan bagi aset-aset strategik di bawah pengurusan Perbadanan.
“Kita tidak mahu selama-lamanya bergantung kepada geran.
“Matlamat kita ialah secara berperingkat mengurangkan kebergantungan itu dan meningkatkan hasil sendiri.
“Kita perlu mempunyai model perniagaan yang mampu menyokong kos operasi serta penyelenggaraan,” ujar Mozakir.
Kos penyelenggaraan tinggi, kreativiti jadi kunci
Namun, perjalanan ke arah kemampanan sedah semestinya mempunyai cabaran tersendiri.
Kos penyelenggaraan khususnya bagi stadium bertaraf besar adalah tinggi dan memerlukan peruntukan yang konsisten.
Pada masa sama, usaha menarik pengunjung, penganjur dan penaja memerlukan fasiliti yang sentiasa berada pada tahap terbaik serta mempunyai aktiviti yang mampu menarik orang ramai secara berterusan.
Atas sebab itu, kerja-kerja penambahbaikan sedang dilaksanakan di Stadium Negeri dan Dewan Millenium, termasuk penambahbaikan premis, pembangunan pocket garden serta kerja premix di kawasan luar.
Menurut Mozakir, perubahan berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat dan kesannya dijangka lebih ketara pada tahun berikutnya.
“Kalau kita mahu orang datang, kita perlu berikan mereka sebab untuk datang.
“Bukan hanya kerana ada pertandingan. Kita perlu wujudkan pengalaman, suasana dan aktiviti yang membuatkan mereka mahu datang semula,” katanya.
Stadium kembali bernyawa
Perubahan itu mula diterjemahkan menerusi peningkatan aktiviti di Stadium Negeri yang kini semakin aktif dengan pelbagai program termasuk acara anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta program permotoran.
Malah, perbincangan sedang dijalankan bersama pihak penganjur bagi membawa masuk konsert berskala besar dan karnival selama tiga hari.
Dengan kapasiti maksimum 40,000 penonton, stadium tersebut bagaimanapun dijangka lebih sesuai menampung kira-kira 30,000 penonton bagi penganjuran konsert untuk memberikan ruang dan keselesaan yang lebih baik.
“Ini semua sedang kita usahakan kerana kita mahu stadium ini menjadi lokasi yang sentiasa ada aktiviti.
“Bila semakin banyak acara diadakan, semakin ramai orang mengenali fasiliti ini dan secara tidak langsung ia membantu membuka peluang ekonomi,” katanya.
Pengalaman 25 tahun jadi bekalan
Mozakir yang sebelum ini merupakan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang membawa pengalaman kira-kira 25 tahun dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke dalam pengurusan PSDKLPP.
Beliau menyertai Perbadanan berkenaan pada April selepas bersara pada Mac.
Pengalaman mengurus aspek rumput ketika berada dalam bidang Akademi Golf turut memberi pengaruh terhadap pendekatannya dalam memastikan kualiti padang sentiasa diberi perhatian.
“Padang ialah aset utama, kalau kita tidak jaga rumput dengan baik, kualiti keseluruhan acara akan terjejas.
“Sebab itu penyelenggaraan bukan perkara sampingan tetapi merupakan asas kepada reputasi sesuatu fasiliti,” katanya.
Dari aset kerajaan kepada aset rakyat
Menjelang 2030, PSDKLPP menyasarkan sebuah model pengurusan yang bukan sahaja mampu mengekalkan aset dalam keadaan baik, tetapi turut menjadikannya lebih aktif, inklusif dan berdaya jana.
Daripada stadium yang menjadi lokasi pertandingan, kepada taman kejiranan yang menjadi ruang keluarga; daripada tanah lapang yang tidak dimanfaatkan, kepada pusat rekreasi yang dihidupkan semula.
Semua usaha tersebut membawa satu matlamat iaitu memastikan setiap ruang milik negeri mempunyai nilai dan manfaat kepada rakyat.
Bagi Mozakir, transformasi itu tidak boleh berlaku dalam sekelip mata.
Sebaliknya, usaha itu memerlukan perancangan, penyelenggaraan berterusan, pemasaran agresif, kerjasama sektor swasta dan paling penting, keberanian untuk melihat aset sedia ada dengan perspektif baharu.
“Fokus kita jelas iaitu baiki fasiliti, jaga kawasan lapang, buka ruang kepada rakyat dan pada masa sama cari kaedah untuk menjana hasil.
“Kita mahu apabila rakyat datang ke sini, mereka rasa tempat ini hidup, selamat, selesa dan memang untuk mereka,” katanya menutup bicara.