Pasar Berbisik Kuala Sungai Muda riuh sambut KM

Oleh : YAP LEE YING / ZULIANA AZIZ

KETUA Menteri tersenyum selepas ‘membisik’ harga tawaran ikan pari yang dipegang oleh seorang nelayan di Pasar Berbisik, Kuala Muda, Penaga bersempena program Ketua Menteri Bersama Rakyat - Seberang Perai Utara di sini baru-baru ini. Turut serta adalah Lim Hok Seng (kiri sekali) dan Wong Hon Wai (dua dari kiri).
KETUA Menteri tersenyum selepas ‘membisik’ harga tawaran ikan pari yang dipegang oleh seorang nelayan di Pasar Berbisik, Kuala Muda, Penaga bersempena program Ketua Menteri Bersama Rakyat – Seberang Perai Utara di sini baru-baru ini. Turut serta adalah Lim Hok Seng (kiri sekali) dan Wong Hon Wai (dua dari kiri).

PENAGA – Keadaan Pasar Berbisik Kuala Sungai Muda riuh apabila menyedari ketibaan Ketua Menteri ke lokasi berkenaan di sini baru-baru ini.

Malah, lawatan julung kali diadakan tersebut turut menarik Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng untuk turut serta berbisik tawar-menawar bagi mendapatkan udang segar yang baru dibawa naik nelayan Kuala Muda.

Melihat gelagat tersebut, beberapa nelayan yang kebetulan membawa kamera tidak melepaskan peluang merakam aksi Ketua Menteri dan turut bergambar bersama pemimpin tersebut.

Seorang nelayan, Wan Ibrahim Wan Sulaiman, 61, berkata, beliau begitu terharu dengan lawatan Ketua Menteri. Ini kerana, menurutnya, sebelum ini, tiada seorang pemimpin termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengadakan lawatan ke kawasan tersebut.

“Saya bangga Ketua Menteri boleh turun padang. Ini kali pertama saya berjabat tangan dan melihat Ketua Menteri dari dekat. Kalu harap YB Penaga (Datuk Azhar Ibrahim), setahun pun tak turun sekali!’’ katanya ketika ditemui Buletin Mutiara pada program Ketua Menteri Bersama Rakyat – Seberang Perai Utara (SPU) di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu bahawa beliau telah mengarahkan Pegawai Daerah SPU untuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan bagi menambahbaik kemudahan di Kuala Sungai Muda selepas selesainya Rancangan Tebatan Banjir (RTB).