Pasar Pulau Tikus dibuka semula, rayu semua patuhi SOP

Admin

PULAU TIKUS – Pasar dan Tapak Penjaja Sementara (TPS) Pulau Tikus yang sebelum ini ditutup ekoran terdapat 19 peniaga dan penjaja disahkan positif COVID-19 dibuka semula hari ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, terdapat kira-kira 200 peniaga dan penjaja di sini yang menerima arahan penutupan serta-merta pada 27 September lalu bagi membolehkan kerja-kerja disinfeksi, sanitasi dan ujian saringan dijalankan.

 

JAGDEEP Singh Deo.

 

“(Arahan penutupan) merupakan prosedur lazim bagi memastikan keselamatan para peniaga dan penjaja serta para pengunjung.

 

Pasar ini bukan pasar pertama yang ditutup sejak 18 Mac 2020, namun mulai 11 Oktober (2021) semua pasar awam di Pulau Pinang telah dibuka dan beroperasi seperti biasa.

 

“Oleh itu, saya merayu kepada semua pihak supaya melaksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat yang prihatin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi kesihatan dan keselamatan semua,” ujarnya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada 11 Oktober 2021.

 

PEMBUKAAN semula Pasar Pulau Tikus.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Addnan Mohd. Razali; Ahli Majlis MBPP, Connie Tan Hooi Peng serta wakil daripada persatuan peniaga dan penjaja antara yang hadir sama pada pembukaan semula Pasar Pulau Tikus dan TPS dekat sini.

 

Dalam sidang sama, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat memaklumkan bahawa seramai 18,715 atau 92.26 peratus daripada 20,284 peniaga dan penjaja di Pulau Pinang telah menerima vaksin.

 

Kerajaan Negeri akan terus memantau dan membantu dengan memberi keutamaan kepada peniaga dan penjaja untuk menerima vaksin bagi mencapai (matlamat utama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, PICK).

 

“Begitu juga golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun, perlu melengkapkan dos vaksin sebelum kembali ke sekolah secara bersemuka.

 

“Tidak ketinggalan ialah para pegawai dan kakitangan di kedua-dua Majlis Bandaraya (MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP) yang mana kini telah mencapai 98.66 peratus atau 6,908 daripada 7,002 orang,” jelasnya yang bersetuju dengan pengumuman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mewajibkan penjawat awam melengkapkan imunisasi tersebut sebelum 1 November ini.

 

Mengulas mengenai kebenaran merentas negeri yang bermula hari ini, Jagdeep berkata, pihaknya telah mengarahkan kedua-dua Majlis Bandaraya supaya meningkatkan pemantauan terutama di tempat-tempat tumpuan umum.

 

“Selain memastikan pematuhan SOP lain-lain aspek berkaitan keselamatan dan kesihatan awam turut akan diberi perhatian bagi mengelakkan kes melonjak semula,” katanya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Tung Seang menyatakan bahawa pihaknya mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan dua inisiatif baru iaitu i-Sihat dan i-Temu.

AR. Yew Tung Seang.

 

“Sejak Ogos 2021, terdapat 334 kes jangkitan melibatkan pegawai dan kakitangan MBPP.

 

“(Dan) mulai 1 Oktober lalu, MBPP mewajibkan semua pegawai dan kakitangan menjalani ujian saringan kendiri yang mana seramai 12 orang dikesan dijangkiti COVID-19.

 

Pihak kami (MBPP) akan meneruskan inisiatif ini dua minggu sekali bagi mengekang penularan di tempat kerja dan membolehkan pelanggan menerima perkhidmatan terbaik.

 

“Bagi pelawat yang ingin berurusan dengan MBPP pula, mereka juga perlu menjalankan ujian saringan kendiri dan keputusan dimuat naik melalui Sistem Janji Temu dikenali sebagai i-Temu.

 

“Sekiranya positif, pelawat tidak dibenarkan berurusan dengan mana-mana jabatan di MBPP dan mereka dinasihatkan melaporkan status ujian tersebut melalui MySejahtera,” tegasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI