Pasar Tani Guar Perahu, pasar tani pertama di Pulau Pinang guna transaksi tanpa tunai

Admin

PENANTI – Pasar Tani Guar Perahu, di sini menjadi pasar tani pertama di negeri ini yang menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai dalam urusan jual beli.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, seramai 19 peniaga di pasar tani berkenaan telah mendaftar aplikasi Touch ‘n Go e-Wallet bagi membolehkan pembayaran tanpa tunai dilakukan.

“Walau bagaimanapun, ini bukan bermakna pelanggan di pasar tani tidak boleh menggunakan wang tunai… masih boleh guna (wang tunai) cuma kita wujudkan nilai tambah dengan memperkenalkan transaksi tanpa tunai.

Dr. Afif Bahardin mencuba aplikasi transaksi tanpa tunai di salah sebuah gerai makanan dekat Pasar Tani Guar Perahu, semalam.

“Melalui aplikasi ini, peniaga hanya perlu pamerkan Kod QR (kod maklum balas pantas) yang sememangnya selamat dan transaksi boleh dilakukan secara percuma tanpa sebarang caj tambahan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Transaksi Tanpa Tunai dan Jom Kongsi Rezeki di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kanan Peruncitan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pusat, Abd. Rahman Mahmood; Pengarah FAMA Negeri Pulau Pinang, Habibah Sulaiman serta Pengarah Kanan Bahagian Galakan Pasaran Dalam Negara dan Pemasaran Online, Mohamad Mustahapa Awang.

Pada program itu juga, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya turut menyampaikan Geran Insentif Projek-projek FAMA kepada usahawan di negeri ini sebelum melakukan lawatan ke gerai-gerai jualan dan menyerahkan sumbangan kepada asnaf yang layak di bawah program Jom Kongsi Rezeki.

Mengulas lanjut, Afif berkata, Malaysia kini sememangnya sedang bergerak ke arah teknologi digital yang memerlukan masyarakat menggunakan aplikasi tanpa tunai sepenuhnya pada masa akan datang.

Peniaga perlu mempamerkan Kod QR bagi membolehkan transaksi tanpa tunai dilakukan.

“Justeru, saya berharap agar lebih banyak lagi pasar tani, peniaga-peniaga kecil atau usahawan menggunakan aplikasi ini kerana kita (Kerajaan Negeri) mahu teknologi digital bukan hanya memberi manfaat kepada masyarakat di bandar tetapi juga di luar bandar.

“Untuk makluman juga, penganjuran program Seberang Perai Fiesta yang bakal berlangsung tidak lama lagi turut mengguna pakai transaksi tanpa tunai sepenuhnya,” katanya lagi.

Difahamkan, seramai 450 peniaga pasar tani di negara ini telah mendaftar aplikasi tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD