Pasaran kerja negeri berdaya tahan – P. Ramasamy

Admin
P. Ramasamy

GEORGE TOWN – Di Pulau Pinang seramai 11,996 orang berjaya mendapatkan pekerjaan semula melalui Program Insentif Pengambilan Pekerjaan dan Bantuan Latihan yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sepanjang tahun 2020, dan sehingga 25 Jun tahun ini seramai 8,958 orang turut berjaya diserapkan dalam sektor-sektor tenaga kerja berkaitan.

Mengulas lanjut mengenai pelaporan terbaru yang disediakan oleh agensi persekutuan tersebut, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata bahawa situasi tenaga buruh di Pulau Pinang ketika ini masih berdaya tahan antara lain disebabkan sektor perkilangan terutama syarikat multinasional (MNC) dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan yang ketat, sehingga kini.

“Sehingga 25 Jun 2021, lima sektor utama yang menyerap pengambilan tenaga buruh di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerjaan dan Bantuan Latihan 2.0 adalah sektor perkilangan (2,118 orang), sektor perkhidmatan lain (1,529), pengangkutan dan penyimpanan (958), pentadbiran dan perkhidmatan sokongan (766), dan akomodasi dan industri makanan minuman (637).

“Pengambilan tenaga buruh paling tinggi pada bulan Jun ini iaitu seramai 4,192 orang berbanding Mei (2,121), April (1,010), Mac (905), Februari (425) dan Januari (242), menunjukkan suatu trend peningkatan.

“Keadaan sektor tenaga kerja dijangka boleh berdaya tahan lagi disebabkan jumlah mereka yang hilang pekerjaan (menurut rekod PERKESO) adalah lebih rendah berbanding kadar permintaan tenaga kerja di negeri ini.

“Di samping itu, sektor ekonomi terutama syarikat MNC yang masih dibenarkan beroperasi dengan SOP begitu ketat turut membolehkan mereka yang hilang pekerjaan semasa pandemik COVID-19 boleh cepat diserap dalam sektor tenaga kerja yang sedia ada di kilang-kilang,” jelasnya lagi kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di pejabatnya dekat Komtar pada 1 Julai 2021.

Sambil menganggap sektor tenaga buruh negeri masih berdaya tahan, Ramasamy bagaimanapun berkata bahawa beliau sendiri masih bimbang dengan nasib rakyat yang bekerja sendiri atau tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Ada yang tidak duduk dalam sektor kerja secara formal, kita tidak tahu bagaimana nasib mereka.

“Sebab itulah, Pakej Bantuan Ekonomi Rakyat Pulau Pinang yang dilancarkan dalam beberapa fasa sebelum ini adalah relevan untuk membela nasib mereka yang terjejas daripada segi pendapatan harian (kerana tidak duduk dalam sektor pekerjaan secara formal),” jelasnya lagi yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi.

Berdasarkan laporan terbaru PERKESO, Ramasamy memberitahu bahawa jumlah tenaga buruh yang hilang pekerjaan sepanjang tahun lepas adalah seramai 10,465 orang, sementara sehingga 25 Jun tahun ini adalah seramai 2,101 orang.

“Mengikut sektor pula, paling ramai hilang kerja dalam tahun 2021 adalah sektor perkilangan iaitu seramai 624 orang tetapi yang diserap masuk semula pada bulan Jun ini sahaja seramai 4,192 orang membolehkan 2,118 mendapat pendapatan semula dalam sektor perkilangan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.

Menjawab soalan Buletin Mutiara selepas itu, beliau berkata bahawa kadar pengangguran semasa negeri adalah di bawah paras 3.2 peratus kadar pengangguran kebangsaan yang dicatatkan pada 31 Disember 2020.

Pun begitu, beliau berkata Kerajaan Negeri menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) serta Penang Institute (PI) akan terus berusaha menyediakan lebih banyak kursus jangka pendek kepada belia yang kurang berkemahiran supaya mereka boleh segera memenuhi permintaan pekerjaan selayaknya, kelak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI