Gesa kecualikan caj pemeriksaan kenderaan berkomputer

Admin

 BATU UBAN – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengecualikan caj pemeriksaan kenderaan yang dijalankan melalui Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

 

Jelasnya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan pemandu kenderaan komersial seperti pemandu bas sekolah hilang punca pendapatan.

 

“Caj tersebut amat membebankan, sekali ‘check’ RM600 hingga RM800 jadi kita minta kerajaan melalui MOT untuk kecualikan bayaran tersebut.

 

“Saya difahamkan pemeriksaan tersebut perlu dilakukan enam bulan sekali, tetapi bas sekolah pun tidak jalan, saya harap Menteri Pengangkutan boleh dengar keluhan ini,” ujar Tze Tzin sejurus menyampaikan bantuan keperluan harian kepada 42 pemandu bas sekolah sekitar Bayan Baru secara pandu lalu di pusat khidmatnya pagi tadi.

 

  

Salah seorang penerima, MOHAMED FAROUK ABDUL SUBHANI, 33, berkata, ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO) beliau kini beralih kepada bidang penghantaran makanan.


“Ansuran van sekolah pun sebulan RM1,600 kereta persendirian pun nyaris kena tarik dah, pendapatan kami amat-amat terjejas apabila sekolah tak buka,” ujarnya yang sudah tujuh tahun bekerja sebagai pemandu van sekolah persendirian.

 

 

Sementara itu pasangan suami isteri, TEH SIEW HWA isteri, 47, KHOO TEN LEK, 54, hilang sumber pendapatan apabila penutupan sekolah dibuat dan berharap sesi persekolahan cepat kembali seperti biasa.

 

 

Seorang lagi pemandu bas sekolah V. RAMSESH ,50, turut hilang punca pendapatan dan cuma bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

 

 

“Tauke bayar gaji separuh sahaja sekarang lain-lain guna duit KWSP untuk sementara,” jelasnya yang masih menanggung pengajian anaknya di politeknik dan sekolah menengah.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD