Pasca COVID-19: kebersihan diri sebagai norma kehidupan baru

Admin

GEORGE TOWN – Penularan wabak COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bakal mendidik rakyat di seluruh negara termasuk Pulau Pinang untuk mengubah tabiat dan menjadikan kebersihan diri sebagai norma kehidupan baru.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, alatan seperti pelitup muka dan pensanitasi tangan akan menjadi antara barangan keperluan rakyat selepas wabak COVID-19 pulih nanti.

“Pemakaian pelitup muka serta amalan mencuci tangan sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat kini, dan norma baharu ini akan menjadi kebiasaan dalam mendidik rakyat selepas tamatnya PKP dan COVID-19,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Kon Yeow sebelum itu mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima sumbangan 3,000 pelitup muka daripada Penasihat Persatuan Dinamik Usahawan Pulau Pinang, Ooi Chao Syhuan.

Hadir sama, pengerusinya, Tony Tan Kai Loon dan Mohd. Razim Idris (Setiausaha).

Difahamkan, persatuan berkenaan turut memperuntukkan sejumlah 20,000 keping pelitup muka untuk disumbangkan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang sebagai edaran kepada umum.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN