Pasca COVID-19, semua pihak perlu tumpu pemulihan sosial ekonomi

BAGAN DALAM – Menerusi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang berserta insentif tahunan Kerajaan Negeri, seramai 2,252 pemandu teksi di Pulau Pinang masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM500 melibatkan peruntukan keseluruhan RM1.1 juta.

Jumlah sumbangan tersebut merupakan insentif separuh tahun kepada pemandu teksi sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, manakala sebahagian lagi adalah bayaran one-off yang diumumkan menerusi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang ekoran impak wabak pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa bayaran kepada golongan berkaitan kini mencapai 90.9 peratus iaitu membabitkan 2,045 pemandu, baki yang masih belum terima adalah ekoran dokumen yang tidak lengkap.

“Justeru, hari ini dan esok (26 April 2020, Ahad), Kerajaan Negeri aturkan pendekatan pandu lalu kepada mereka yang tidak dapat kemukakan butir-butir bank bagi proses bayaran sumbangan berkaitan,’’ ujarnya ketika menyampaikan bantuan secara pandu lalu kepada 72 pemandu teksi peringkat Seberang Perai di Dewan Haji Ahmad Badawi, Butterworth dekat sini pagi ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Azhar Arshad; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bahagian bagi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), M. Maheswari dan Yang di-Pertua Gabungan Persatuan Pemandu Teksi  dan Pemandu Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang, Mohamad Shahimi Hadzri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa bagi pemandu e-hailing yang menerima insentif one-off RM300, peratusan penerimaan sehingga kini adalah 97.25 peratus bersamaan 8,385 pemandu daripada jumlah keseluruhan senarai 8,571 pemandu yang juga disebabkan dokumen tidak lengkap.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong menyatakan bahawa sudah sampai masanya Kerajaan Persekutuan dan semua pihak dalam negara ini perlu memikirkan soal pemulihan sosial ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik kelak.

“Tempoh PKP yang panjang mendatangkan kesan ekonomi kepada rakyat sebagaimana dihadapi sekarang.

“Rakyat perlu memikul cabaran daripada segi kewangan, dan kita (Kerajaan Negeri) sedia maklum bahawa rakyat perlu kerja, perlu pendapatan untuk menyara hidup serta membiayai persekolahan dan sebagainya.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) berharap dalam pelaksanaan PKP fasa keempat kelak, sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan akan meneliti serta memberi kelonggaran kepada sub sektor tertentu supaya mereka boleh jalankan aktiviti-aktiviti perniagaan semula, maka pekerja-pekerja juga boleh meneruskan semula pekerjaan.

“Sebagai kerajaan, kita perlu mendengar suara rakyat bahawa sekarang perniagaan tidak boleh beroperasi, maka mereka perlu pikul bayaran sewa, upah atau gaji pekerja-pekerja, jadi, pemantauan keadaan semasa adalah perlu diteruskan,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Serentak itu, bayaran insentif separuh tahun kepada 519 operator bas sekolah turut juga telah disempurnakan oleh pihak Kerajaan Negeri.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG

Video : LAW SUUN TING