Pasca PKP: Rancakkan ekonomi sektor pembinaan, Kerajaan Negeri lulus RM2.35 juta kepada JKR Pulau Pinang

Admin

SUNGAI PINANG – Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2,350,000 kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang bagi pelaksanaan 51 kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Negeri di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebanyak 51 kerja undi penyelenggaraan jalan bakal dilaksanakan dengan anggaran kos bagi setiap projek yang diluluskan adalah tidak melebihi RM50,000.

Menurut beliau, selain penyelenggaraan jalan, terdapat juga dua kerja penyelenggaraan elektrik yang bakal dijalankan serentak menjadikan jumlah keseluruhan adalah 53 kerja.

“Projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri untuk merancakkan ekonomi di Pulau Pinang terutamanya dalam sektor pembinaan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak pandemik COVID-19.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) berharap menerusi peruntukan ini, kualiti penyelenggaraan jalan di Pulau Pinang akan dapat terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” ujarnya sambil berharap agar pihak kontraktor yang berjaya dilantik dapat merealisasikan hasrat tersebut.

Kon Yeow berkata demikian pada program Cabutan Kerja Undi JKR Pulau Pinang Tahun 2020 yang dilakukan secara penstriman langsung menerusi akaun rasmi Facebook JKR Pulau Pinang, sekaligus menjadikan jabatan tersebut sebagai agensi pertama merintis cabutan kerja undi atas talian di negeri ini pada fasa PKP kini.

Turut serta, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Dato’ Sarul Bahiyah Abu (Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang); Dato’ Azhar Arshad (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan); Ir. Roslan Ismail (Pengarah JKR Negeri Pulau Pinang) dan Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan (Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia).

Difahamkan bahawa semua 53 projek tersebut adalah melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan di kelima-lima daerah dan satu cawangan kejuruteraan elektrik.

Tambah Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi, cabutan undi adalah dipelawa kepada kontraktor yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Sistem ePerolehan Kerajaan Negeri pulau Pinang (SysP).

“Mereka (kontraktor) mestilah memenuhi syarat-syarat pengkhususan kategori bidang yang telah ditetapkan oleh CIDB.

“Proses pendaftaran kontraktor yang ingin menyertai proses undi telah dilaksanakan secara atas talian melalui sistem SysP, yang mana mereka hanya perlu melengkapkan borang serta memuat naik dokumen-dokumen diperlukan secara online tanpa perlu hadir ke pejabat JKR,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: CHAN KOK KUAN
Video: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI