Pasukan petugas khas pantau pencemaran sungai, laut

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri baru-baru ini mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas untuk memantau pencemaran sungai dan laut di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pasukan petugas khas dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memantau kondisi laut dan sungai di Pulau Pinang.

“Mereka (pasukan petugas khas) bertanggungjawab melawat sungai dan laut terutamanya di sebelah pulau, memantau dan melaporkan sekiranya berlaku pencemaran di sungai-sungai atau punca air berkenaan.

“Ini termasuk pembuangan sampah, pembuangan sisa-sisa tidak dirawat serta pelepasan enap cemar dari saluran kumbahan ke sungai atau laut,” katanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pasukan petugas khas tersebut turut dianggotai beberapa agensi lain antaranya, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) kini dalam usaha untuk membendung isu-isu pencemaran di negeri ini termasuk mengawal kualiti air di setiap sungai dan laut.

“Langkah-langkah jangka pendek seperti pemantauan yang diambil ini diharap dapat membendung pencemaran sekaligus memelihara alam sekitar kita,” tegas beliau.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut meluluskan sejumlah peruntukan untuk menjalankan kerja-kerja pengorekan muara yang terhakis secara semulajadi dan tersekat akibat kemarau di sekitar Sungai Batu Ferringhi, Sungai Kechil, Sungai Kelian dan pesisir pantai di Masjid Terapung Tanjung Bunga di sini.

Pada 4 Februari lalu, akhbar melaporkan ujian sampel air di Sungai Batu Ferringhi oleh JAS didapati mengandungi bakteria e-coli (escherichia coli) sehingga menyebabkan sebahagian air laut di kawasan berkenaan bertukar menjadi hitam.

Dalam sidang media sama, Kon Yeow turut berkata, sistem intergrasi Pengurusan Lembangan Sungai Secara Bersepadu (IRBM) iaitu sebuah projek pemuliharaan sungai  diuruskan JPS di Sungai Pinang menunjukkan keputusan yang memberangsangkan.

“Di bawah Program Satu Negeri Satu Sungai (1N1S), setiap negeri dikehendaki menyenaraikan satu sungai untuk dipulihkan dan Sungai Pinang pada ketika itu dalam Kelas IV, kini telah berjaya berjaya menunjukkan prestasi kualiti air yang baik.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan melihat kaedah IRBM ini untuk diaplikasi (bagi jangka panjang) di sungai-sungai bermasalah di sini,” ujar Kon Yeow yang bertekad untuk meningkatkan bacaan Indeks Kualiti Air Sungai di sini.

Untuk rekod, Indeks Kualiti Air Sungai dibahagikan kepada lima kelas utama iaitu Kelas I bermakna air tersebut berada dalam keadaan  semulajadi dan tidak memerlukan rawatan; Kelas II, air yang sesuai digunakan untuk rekreasi dan perlukan rawatan konvensional sebelum diminum; Kelas III, air yang memerlukan rawatan intensif; Kelas IV, air sungai yang hanya boleh digunakan untuk tujuan pengairan dan Kelas V, sungai yang sangat teruk dan tercemar hingga tidak boleh digunakan.