Terminal Bas Weld Quay mampu tampung 80,000 pengguna

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Terminal Bas Awam Kedua (Terminal 2) syarikat bas awam, Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang) di Pengkalan Weld di sini yang kini giat dibangunkan dijangka siap sepenuhnya menjelang April tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, kos pembinaan Terminal 2 di atas tanah Lot 461 tersebut menelan belanja RM2 juta dan telah 80 peratus siap.

“Dengan adanya Terminal 2 ini, diharap ia dapat menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang.

“Keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dapat memberi suatu tanggapan meyakinkan bukan sahaja daripada orang awam yang menggunakan pengangkutan awam, malah juga pelancong ke negeri ini,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Terminal 2 di sini baru-baru ini.

Terminal 2 didirikan di tanah milik Perbandanan Ketua Menteri (CMI) dengan pajakan 10 tahun kepada Rapid Penang.

Turut hadir, Ketua Pegawai Sokongan Strategik Rapid Penang, Osman Amir.

Osman memberitahu, setelah siap kelak, terminal-terminal di Pengkalan Weld (Terminal 1 dan Terminal 2) keseluruhannya mampu menampung 80,000 pengguna pengangkutan awam sehari.

“Jumlah ini sejajar dengan pertambahan 70 bas Rapid Penang baru-baru dan ia (jumlah) akan bertambah mengikut keperluan semasa kelak,” jelas beliau.

Menurutnya, terminal berkenaan bakal dilengkapi kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU), paparan monitor LCD, laluan pejalan kaki berbumbung antara Terminal 1 dan Terminal 2, hentian teksi serta tandas awam.

Dalam perkembangan sama, Osman turut menyatakan bahawa Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) kini giat menambahbaik depoh bas di Pengkalan Weld dan beberapa hab Rapid Penang di Bukit Jambul dan Mak Mandin, Butterworth.

“Selain itu, untuk tempoh lima tahun akan datang, depoh bas Sungai Nibong akan turut ditambahbaik termasuk pembangunan depoh bas baharu di Balik Pulau,” ujar beliau.