Patuh SOP PKPP, Restoran Hameediyah dibenarkan beroperasi semula – Jagdeep

Admin
JAGDEEP Sing Deo (depan, kiri) menunjukkan pelakat penjarakan fizikal yang disediakan oleh pengendali Restoran Hameediyah, Lebuh Campbell, untuk dipatuhi oleh pengunjung ketika beratur bagi memesan makanan di sini.

 

GEORGE TOWN – Restoran terkenal di negeri ini, Hameediyah hari ini dibenarkan beroperasi semula pada kapasiti penuh seperti biasa selepas disahkan mematuhi kesemua prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang digariskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, langkah penutupan sementara itu penting demi memastikan segala usaha Kerajaan Negeri untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 berjaya di Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri akan terus tegas dalam menguatkuasakan kesemua SOP di Pulau Pinang dan saya tegaskan sekali lagi bahawa tiada amaran lanjut akan diberikan sekiranya mana-mana SOP gagal dipatuhi.

“Keselamatan dan kesihatan awam sentiasa menjadi keutamaan kita, (justeru) tolong terus patuhi semua SOP demi kebaikan bersama,” tegasnya kepada pemberita selepas meninjau amalan pematuhan SOP di restoran berkenaan dekat Lebuh Campbell di sini.

Turut serta, Pengarah Kesihatan Persekitaran dan Perlesenan MBPP, Dr. Judy Shoba a/p Robert Rajah dan beberapa lagi inspektor kesihatan lain.

GAMBAR pengunjung mematuhi penjarakan fizikal 1 meter (m) anatara satu sama lain di Restoran Hameediyah, Lebuh Campbell di sini pada pagi tadi.

Terdahulu, dalam satu operasi yang dilaksanakan MBPP pada Ahad lepas, sebanyak enam premis perniagaan diarahkan tutup kerana tidak mematuhi SOP berwajib.

Namun kini, menurut Jagdeep, empat premis termasuk Restoran Hameediyah dibenarkan beroperasi semula termasuk kebenaran pelanggan makan dalam premis, selepas mematuhi pematuhan SOP.

“Sebanyak empat premis ini telah patuh semua SOP dan dibuka semula manakala dua premis lagi masih lagi ditutup sehingga hari ini kerana gagal memenuhi kehendak semua SOP.

“Daripada permulaan pelaksanaan PKP (sejak 18 Mac 2020) sehingga hari ini (27 Ogos 2020), kedua-dua PBT (pihak berkuasa tempatan telah menutup sebanyak 21 premis perniagaan yang mana MBPP telah menutup sebanyak lapan premis di bahagian Pulau kerana tidak mematuhi SOP.

“Manakala, di bahagian Seberang Perai, MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) pula telah menutup sebanyak 13 premis atas sebab-sebab yang sama,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memberitahu bahawa hasil pemeriksaan MBPP di 242,177 premis perniagaan dan MBSP (483,053 premis perniagaan) sehingga 25 Ogos 2020 mendapati kadar pematuhan rakyat secara umum masing-masing pada tahap 99.58 peratus dan 99.32 peratus.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN