Patuhi SOP, nasihat Exco Pelancongan

TANJUNG BUNGA – Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin menasihatkan semua pelancong yang mula membanjiri negeri Pulau Pinang supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan demi mengelak risiko perebakan wabak COVID-19.

 

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong berkata demikian semasa acara sambutan pelancong di Hotel Rainbow Paradise dekat Tanjung Bunga pada pagi tadi.

 

 

“Kebenaran rentas negeri yang dibenarkan sejak 11 Oktober (Isnin) lalu dilihat kembali membuka potensi industri pelancongan di Pulau Pinang.

 

 

“Sebagai Kerajaan Negeri, kita tidak akan berkompromi tentang kesihatan awam dan mahu semua untuk terus patuh kepada SOP kerana kita mahu keseimbangan antara ekonomi dan kehidupan seharian.

 

 

“Saya percaya barisan hadapan seperti pihak polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus memantau pematuhan SOP terutamanya kawasan-kawasan tumpuan pelancongan,” ujar kepada Buletin Mutiara.

 

 

Hadir sama, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Pulau Pinang, Jonathan Freddy P. Bagang dan Pengurus Besar Hotel Rainbow Paradise, Steven Ang.

 

Mengulas lanjut, Soon Hin mahu semua pihak berkepentingan saling bekerjasama memandangkan sektor pelancongan adalah berkait-rapat dengan sektor-sektor lain di Pulau Pinang.

 

 

“Jadi, sekiranya sekatan (rentas negeri) terpaksa dilakukan semula akibat penularan kes, ia akan turut menjejaskan mata pencarian rantaian sektor lain seperti penerbangan, pengangkutan, agensi pelancongan, pusat beli belah dan lain-lain lagi,” jelasnya.

 

Steven Ang ketika bercakap kepada pemberita menyatakan bahawa pihaknya membuka penginapan sebanyak 40 bilik.

 

 

“Setakat ini 70 peratus sudah diduduki, kita tidak dapat membuka semua bilik ekoran kerja-kerja penyelenggaraan masih dijalankan memandangkan ada bilik sebelum ini yang lebih setahun tidak diduduki,” katanya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING