PBA Holdings Berhad catat keuntungan selepas cukai RM24.76 juta

Admin

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM24.76 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Pengerusi PBAHB, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melalui kenyataan media pada 22 Jun 2021 memaklumkan bahawa pendapatan operasi PBAHB dijana hasil penjualan air terawat oleh anak syarikat utamanya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP).

“Jumlah pendapatan PBAHB adalah RM336.3 juta pada tahun 2020 berbanding RM340.2 juta pada tahun 2019.

Penurunan 1.1 peratus jumlah pendapatan itu mencerminkan peralihan penggunaan air berikutan pelaksanaan berturut-turut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam negara.

“(Selain) budaya bekerja dari rumah yang lebih meluas di Pulau Pinang pada tahun 2020 (menyebabkan) penggunaan air 0.55 peratus lebih tinggi (iaitu 309,244,456 meter padu berbanding) daripada tahun 2019 (397,532,394 meter padu).

“(Dan) ia membawa kepada hasil yang kurang untuk penggunaan air yang lebih tinggi di Pulau Pinang kepada PBAPP pada tahun 2020. Itulah sebabnya keuntungan selepas cukai PBAHB adalah RM24.76 juta pada 2020 berbanding RM25.15 juta (2019),” ujarnya.

Mengulas mengenai dividen akhir, Kon Yeow memberitahu bahawa melalui Mesyuarat Agung Tahunan Ke-21 yang diadakan secara maya sepenuhnya, pemegang saham meluluskan pengisytiharan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1 sen sesaham bagi tahun kewangan 2020.

“(Dividen akhir) ini akan dibayar selewat-lewatnya tiga bulan dari tarikh kelulusan.

“Tahun 2021 menandakan tahun ke-20 berturut-turut yang mana PBAHB membayar dividen kepada pemegang saham setiap tahun sejak 2002,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Kon Yeow turut mengumumkan faktor-faktor utama yang terkait dengan prospek masa hadapan PBAHB.

“PBAPP sedang menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi permohonan semakan tarif air 2019 yang dikemukakan oleh PBAPP kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) atas arahan SPAN.

Permohonan semakan tarif ini didraf mengikut formula Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) SPAN serta tertakluk kepada sokongan oleh SPAN dan cadangan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi memperoleh kelulusan Kabinet.
“(Dan) PBAPP bukan satu-satunya operator air di Malaysia yang dikehendaki mengemukakan cadangan semakan tarif air kepada SPAN.

“SPAN telah mengadakan rundingan awam (dalam tempoh 2019 hingga 2021) untuk cadangan semakan tarif di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor,” jelasnya.

Difahamkan, objektif utama semakan tarif PBAPP adalah untuk meningkatkan dana yang mencukupi bagi projek bekalan air yang dicadangkan demi mengurangkan risiko air mentah dan menangani permintaan air masa depan Pulau Pinang. Tanpa semakan tarif, PBAPP tidak akan dapat mengumpulkan dana mencukupi bagi melaksanakan projek bekalan air yang membabitkan kos ratusan juta ringgit.

Berikut adalah cadangan projek bekalan air utama PBAPP dalam tempoh 2021 hingga 2024 :

i.  Fasa 1 Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Kerian (250 juta liter sehari) untuk merawat air mentah dari Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS);

ii.   Pakej 12A LRA Sungai Dua (114 JLH);

iii.  Skim Bekalan Air Sungai Perai (136 JLH) dan

iv.   Fasa 1 Skim Penyahgaraman Bekalan Air Pulau Pinang (250 JLH).

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa sejak 20 tahun lalu, populasi Pulau Pinang meningkat sebanyak 44.2 peratus iaitu daripada 1.23 juta orang pada 2001 kepada 1.776 juta orang pada tahun 2020.

Jumlah penggunaan air meningkat 43.5 peratus daripada 589 JLH pada 2001 kepada 845 JLH (2020) dan penggunaan domestik menyumbang 62.9 peratus daripada keseluruhan jumlah penggunaan air di negeri ini pada 2020.

“Walaupun permintaan air meningkat seiring dengan pertumbuhan penduduk, ada keperluan mendesak untuk mengatasi masalah penggunaan domestik air per kapita yang tinggi.

“Pada tahun 2020, penggunaan per kapita adalah 299 liter per kapita sehari (LKH) berbanding purata kebangsaan 240 LKH dan ia berkait langsung dengan tarif domestik yang rendah.

Purata tarif domestik Pulau Pinang untuk 35,000 liter pertama penggunaan domestik sebulan adalah terendah di Malaysia iaitu RM0.32 setiap 1,000 liter berbanding purata nasional RM0.71 setiap 1,000 liter.

“Dalam erti kata lain, penggunaan air domestik per kapita Pulau Pinang adalah 24.6 peratus lebih tinggi daripada purata nasional kerana purata tarif air domestik bagi 35,000 liter pertama sebulah adalah 54.9 peratus lebih rendah berbanding purata nasional,” ulasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa subsidi air domestik PBAPP untuk mengekalkan tarif air domestik yang rendah adalah berjumlah RM95.35 juta pada 2020 manakala keuntungan selepas cukai adalah RM24.76 juta.

“Oleh itu, PBAPP memohon semakan tarif air untuk sebab praktikal iaitu menggalakkan penjimatan air serta bukan pembaziran air dan  mengurangkan subsidi air domestik agar PBAPP mempunyai dana yang mencukupi untuk melabur dalam projek bekalan air,” tegasnya.