PBA, Polis nekad tangani curi meter air

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNPengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya nekad bekerjasama dengan polis bagi menangani masalah kecurian meter air yang diakui kian berleluasa belakangan ini.

Beliau berkata, sebanyak 1,062 meter air dikesan hilang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan kecurian paling tinggi di daerah Seberang Perai Tengah, iaitu sebanyak 884 kes.

“Kita telah bertemu dengan pihak polis berhubung hal ini dan akan menyiasat setiap laporan yang diterima,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, sebanyak 270 meter air dicuri oleh pihak tidak bertengggungjawab pada tahun 2011 dan kes sama meningkat hingga 940 meter air pada tahun berikutnya.

Ekoran itu, katanya lagi, pelanggan terpaksa berdepan dengan kesukaran hidup kerana PBA terpaksa memutuskan bekalan air bagi tujuan membaiki, mengganti, menyambung hatta memasang meter air yang baru.

Difahamkan , PBA menanggung kos sekitar RM100 bagi setiap kehilangan meter air. Justeru, beliau menasihatkan pembeli besi buruk di negeri berkenaan supaya tidak membeli meter atau mana-mana komponen air yang disyaki sebagai barang curi.

Sebarang aduan berwajib boleh dibuat melalui Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-5096509.