SUNGAI DUA – Projek Pemasangan Paip Air Utama Melintasi Sungai Perai berhampiran Aur Gading, Sungai Dua yang bermula pada 1 Ogos tahun lalu dijangka siap sepenuhnya pada 31 Januari 2026.

Jurutera Tapak, Muhd. Hamizan Zabidi berkata, kerja-kerja pemajuan bagi projek milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu kini telah mencapai 90 peratus kemajuan.
“Pada Mei tahun lalu (2025), PBAPP telah berjaya melaksanakan kerja-kerja pemasangan paip baharu berdiameter 1.35 meter yang merentasi Sungai Perai berhampiran Kampung Teluk dan Ampang Jajar.
“Susulan itu, fasa kedua projek di Aur Gading dilaksanakan yang mana kami selaku kontraktor yang dilantik akan menggantikan paip sedia ada berdiameter 900 milimeter (mm) di bawah sungai dengan paip baharu yang dipasang merentasi di atas permukaan sungai,” jelasnya ketika ditemui di tapak projek di sini pada 27 Januari 2026.

Menurut beliau lagi, fasa kedua projek pembinaan paip utama merentasi sungai ini dianggap istimewa kerana menggunakan kaedah baharu iaitu line stopping dan out stepping.
“Kebiasaannya, kaedah lama digunakan dengan menghentikan operasi penyaluran air di paip utama sedia ada bagi melaksanakan kerja-kerja penyambungan akhir, seperti yang dilaksanakan dalam projek pemasangan paip baharu merentasi Sungai Perai berhampiran Kampung Teluk dan Ampang Jajar tahun lalu.
“Namun, menerusi kaedah baharu yang digunakan di Aur Gading ini, kerja-kerja penyambungan akhir boleh dilaksanakan tanpa menghentikan pengaliran air di paip utama sedia ada.
“Kaedah line stopping dan out stepping ini membolehkan gangguan bekalan air tidak berjadual (UWSI) dielakkan. Pada masa sama, kami dapat melaksanakan pintasan pengaliran bekalan air secara serentak,” jelasnya sambil memaklumkan bahawa projek tersebut menelan kos kira-kira RM3 juta.

Buletin Mutiara difahamkan, PBAPP mempunyai dua lagi fasa projek pemasangan paip utama merentasi sungai di empat lokasi lain yang sedang dilaksanakan dan dijangka menggunakan kaedah baharu yang sama semasa penyambungan akhir, pada April nanti.
Terdahulu, pada hujung tahun 2023 dan awal tahun 2024, beberapa siri kebocoran paip air lama telah dilaporkan berlaku di dasar Sungai Perai berhampiran Ampang Jajar.
PBAPP selaku operator air negeri dalam satu kenyataan ketika itu menjelaskan bahawa paip sedia ada tersebut dipasang sejak tahun 1996 dan telah berusia kira-kira 30 tahun.
Kontraktor yang dilantik PBAPP mendapati kerja-kerja pembaikan kebocoran paip berkenaan sukar dilaksanakan berikutan tekanan air yang tinggi serta faktor teknikal lain di permukaan sungai.
Susulan itu, PBAPP mengambil langkah penyelesaian jangka pendek dengan memasang paip lencongan ‘twin 600mm’ di atas permukaan sungai dan merentasi Jambatan Ampang Jajar bagi mengelakkan risiko kebocoran paip utama berulang.
Pada masa sama, PBAPP turut melaksanakan projek pembinaan paip merentasi sungai secara berfasa dengan kos keseluruhan kira-kira RM18 juta, termasuk Projek Pemasangan Paip Air Utama Melintasi Sungai Perai berhampiran Aur Gading, Sungai Dua yang dijadualkan siap pada 31 Januari 2026.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD