PBAPP laksana pembenihan awan di Empangan Air Itam dan Teluk Bahang

Admin
jjjj

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melaksanakan operasi pembenihan awan pada 27 dan 28 Februari 2024 untuk mendorong hujan sebanyak mungkin di sekitar Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, operasi yang dilakukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dibuat ekoran penurunan ketara paras air di kedua-dua empangan.

“Dalam tempoh sejak 1 Januari hingga 27 Februari, hanya 45 milimerer (mm) hujan direkodkan di Empangan Air Itam manakala 71.5 mm di Empangan Teluk Bahang.

whatsapp image 2024 02 28 at 1.46.36 pm
Paras air di kedua-dua empangan yang direkodkan hari ini.

whatsapp image 2024 02 28 at 1.46.03 pm

“Kapasiti efektif di Empangan Air Itam menurun daripada 68.9 peratus pada 1 Januari lalu kepada hanya 37 peratus yang direkodkan hari ini (27 Februari 2024).

“Bagi Empangan Teluk Bahang pula, kapasiti efektif turut menurun daripada 95.4 peratus kepada 79.6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 Februari 2024.

Pathmanathan berkata, sebarang jumlah hujan yang diterima hasil daripada operasi pembenihan awam amat berguna kerana pihaknya berusaha untuk mempertahankan rizab air mentah di empangan berkaitan sehingga musim hujan akan datang.

“Tahun lepas, operasi pembenihan awan dijalankan berturut-turut pada Mei dan Jun yang telah menyumbang kepada sejumlah 30.5 mm di kawasan tadahan air Empangan Air Itam.

“Hujan yang terhasil telah membantu memastikan tiada  krisis air di kawasan Air Itam pad tahun lepas.

“Justeru, kami mengucapkan terima kasih kepada NADMA, TUDM, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas maklum balas pantas terhadap permintaan pembenihan awan yang dibuat (PBAPP) awal bulan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pathmanathan berkata Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) yang dilaksanakan PBAPP telah meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam sebanyak 4.2 peratus sepanjang 22 hari lalu.

“Menerusi AIDAP 2024, PBAPP telah meminimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam ke Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam sebanyak 75 peratus setiap hari, daripada 44 juta liter sehari (JLH) kepada 11 JLH.

“Kedua ialah mengoptimumkan pengambilan air mentah dari muka sauk Utama dan muka sauk Tat pada kadar 6 JLH selain mengurangkan penghasilan air terawat di LRA Air Itam pada kadar 66 peratus daripada 50 JLH kepada 17 JLH sehari.

“Langkah keempat pula, mengepam 33 JLH air terawat dari LRA Sungai Dua (Seberang Perai) ke kawasan perkhidmatan LRA Air Itam bagi menggantikan kekurangan 33 JLH dalam aliran keluar air terawat dari LRA Air Itam,” katanya.

Beliau berkata, kapasiti Empangan Muda dan Empangan Beris yang melepaskan air ke Sungai Muda, masing-masing mencatatkan 63.2 peratus dan 100 peratus.

Sementara itu, tinjauan Buletin Mutiara ke Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang mendapati paras kapasiti di kedua-dua empangan masing-masing berapa pada paras 36.9 peratus dan 79.3 peratus.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI