PBAPP laksana projek kontingensi percepat tadahan air di Empangan Teluk Bahang

TELUK BAHANG – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bakal melaksanakan projek kontingensi tadahan air Sungai Pinang bermula September ini dalam usahanya memastikan kapasiti tadahan air di Empangan Teluk Bahang di sini diisi semula.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata bahawa projek kontingensi tersebut akan membolehkan Empangan Teluk Bahang mempunyai dua sumber air mentah iaitu di kawasan tadahan air Teluk Bahang dan Sungai Pinang yang mana kedua-duanya menghubungkan jarak sekitar 8.6 kilometer (km) melalui jalan darat.

“Projek ini akan melibatkan pengalihan air mentah dari kawasan tadahan air Sungai Pinang iaitu berhampiran Air Terjun Titi Kerawang dengan menggunakan saluran paip air terawat 450mm sedia ada di muka sauk Sungai Pinang untuk mengalirkan air mentah terus ke empangan secara semula jadi.

“Dengan hujan yang dijangka turun bermula September sehingga awal Disember nanti, projek kontingensi ini akan sangat membantu untuk mengisi semula empangan dengan lebih cepat.

“Potensi hasil tadahan air dari Sungai Pinang dianggarkan sekitar 10 juta liter sehari (MLD),” ujarnya ketika bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow melakukan tinjauan khas ke Empangan Teluk Bahang tengah hari tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin.

Sehingga 28 Ogos (semalam), kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang adalah pada kadar 16.4 peratus (25 meter) dan mencukupi untuk bekalan air selama 51 hari tanpa hujan kepada 38,000 akaun pengguna di sekitar Teluk Bahang, Batu Ferringhi serta Tanjung Bungah.

Bagi memastikan dasar tiada catuan air di Pulau Pinang, PBAPP difahamkan turut melaksanakan pelan komponen lain termasuk perancangan operasi pembenihan awan dan meminimumkan pelepasan air harian daripada Empangan Teluk Bahang sejak Januari lalu.

Rentetan itu, Jaseni turut memberi jaminan bahawa majoriti pengguna lain di seluruh Pulau Pinang adalah terjamin memandangkan 80 peratus daripada akaun pengguna menerima manfaat air daripada Empangan Mengkuang.

“Akaun pengguna lain di seluruh Pulau Pinang adalah terjamin memandangkan Empangan Mengkuang kini berada pada tahap 87 peratus,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa lapan operasi pembenihan awan yang sepatutnya dilaksana pada akhir Ogos 2020 tidak dapat dilakukan seperti yang dijadualkan.

“Pada 24 Ogos lalu, kontraktor swasta yang dilantik oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kepada Regulator Air Negeri Pulau Pinang (Badan Kawal Selia Air, BKSA) bahawa pihaknya belum menerima ‘suar’ yang diperlukan untuk operasi berkenaan.

“BKSA akan menghubungi dan meminta bantuan MetMalaysia untuk mempercepatkan siri operasi pembenihan awan secepat yang mungkin pada September ini,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD