PBAPP nasihati orang ramai guna air secara berhemah, jangan bazir

PERBADANAN Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menasihati orang ramai agar menggunakan air secara berhemah ekoran cuaca panas dan kemarau yang melanda negara kini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, kapasiti efektif di Empangan Air Itam menurun dengan mendadak iaitu daripada 92.2 peratus kepada 67.3 peratus bagi tempoh 1 Januari sehingga 18 Februari 2019 baru-baru ini.

Situasi ini, menurutnya, adalah disebabkan oleh faktor cuaca yang panas dan kurangnya taburan hujan berbanding tahun sebelumnya.

“Selain itu, di Pulau Pinang, bermula daripada sambutan Hari Krismas sehingga ke Pesta Belon Panas dan Tahun Baru Cina…permintaan air adalah sangat tinggi ekoran kedatangan pelancong ke sini.

“Oleh itu, pihak PBAPP menasihati pengguna agar mengurangkan penggunaan air, jimat air dan jangan membazir.

“PBAPP akan memantau takungan efektif di Empangan Air Itam setiap hari selain daripada mengurangkan pelepasan air dari empangan tersebut,” ujar beliau ketika ditemu ramah oleh Mutiara.fm tengah hari tadi.

JASENI Maidinsa ketika ditemu ramah oleh MutiaraFM tengah hari tadi.

Menurut Jaseni, sekiranya kapasiti efektif Empangan Air Itam susut sehingga 50 peratus, pihaknya akan mengeluarkan sekali lagi amaran.

“Sama seperti pada tahun 2016 ketika terjadinya ‘Super El Nino’, yang mana tiada hujan langsung sehingga bulan Jun…PBAPP melakukan ‘cloud seeding’ (pembenihan hujan).

“Selain itu juga, kita mengarahkan supaya penanaman padi ditangguhkan buat sementara waktu bagi membolehkan air tersebut digunakan untuk kegunaan harian lain.

“Buat masa ini, empangan di Teluk Bahang masih okay dengan kapasiti efektif 63.5 peratus…dan untuk pengetahuan semua, secara gambaran keluasan Empangan Teluk Bahang adalah tujuh kali ganda keluasan Empangan Air Itam,” jelasnya.

Mekanisme Penentuan Tarif oleh KATS

Apabila diajukan soalan mengenai pengurangan kadar subsidi air domestik, Jaseni memaklumkan bahawa Menteri di Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Dr. Xavier Jayakumar kini sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan pelaksanaan Mekanisme Penentuan Tarif.

“Mekanisme ini akan menentukan tarif secara telus yang mana orang ramai boleh melihat sendiri bagaimana tarif disemak.

“Namun, ia baru di peringkat mendengar pandangan daripada operator air dan negeri-negeri seluruh Malaysia, belumpun diluluskan di Kabinet lagi.

“(Dan) PBAPP belum memohon untuk membuat semakan tarif kerana masih menunggu (kelulusan) mekanisme tersebut.

“Permohonan untuk semak tarif juga hanya boleh dibuat oleh PBAPP dan bukannya Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Apabila formula itu diluluskan, PBAPP akan membuat permohonan dan lihat langkah seterusnya…buat masa ini belum ada apa-apa lagi,” respons beliau terhadap dakwaan kononnya akan berlaku kenaikan tarif air di negeri ini.

Tambah Jaseni, pihaknya akan membuat perancangan untuk 10 tahun ke hadapan supaya tidak timbul krisis bekalan air.

“Bagi tempoh 2019 sehingga 2021, PBAPP melabur RM501 juta bagi melaksanakan projek-projek bekalan air yang akan memenuhi permintaan bekalan air pada masa hadapan.

“Pengurangan subsidi juga dijangka akan melebihi RM100 juta yang mana subsidi kini tidak munasabah, namun PBAPP akan mengurangkan subsidi secara berperingkat pada masa hadapan.

“Selain itu, pendapatan yang diperoleh PBAPP akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui projek-projek bekalan air…100 peratus untuk kepentingan rakyat,” tegasnya.

Fungsi PBAPP dan jaminan bekalan air berkualiti

Sebelum dikorporatkan pada tahun 1999, PBAPP dikenali sebagai Pihak Berkuasa Air Pulau Pinang (1973), dan pada 2002 ia disenaraikan di Burma Malaysia sebagai syarikat bekalan air swasta.

Meskipun, syarikat swasta, pemegang saham majoriti adalah Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Model ini (yang mana syarikat swasta di bawah kawalan Kerajaan Negeri) adalah paling sempurna kerana ada kawalan dan juga keseimbangan untuk bekerja dengan lebih efisien serta produktif.

“Sebab itulah, PBAPP menjual air dengan harga yang sederhana kepada 1.77 juta rakyat Pulau Pinang.

“Sehingga Disember 2018, PBAPP membekalkan air kepada 616,082 akaun air, yang mana 14 peratus adalah akaun perniagaan dan 86 peratus akaun domestik.

“Secara liputan pula, PBAPP membekalkan air 100 peratus ke seluruh (kawasan bandar) di Pulau Pinang dan sebanyak 99.8 peratus pengguna di luar bandar serta 0.2 peratus di kawasan bukit atau pertanian yang tidak memerlukan sumber air (daripada PBAPP).

“Dari segi kualiti, PBAPP memberi jaminan bahawa kualiti air adalah terjamin mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia pada harga yang paling rendah di Malaysia,” katanya.

Malah, PBAPP, tambah beliau, menyokong visi Penang2030 yang disarankan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta memberi jaminan tiada catuan air bagi kelangsungan hidup rakyat Pulau Pinang.

Saranan KATS mengenai penggunaan air domestik per kapita sehari

Menurut Jaseni, rakyat di negeri ini menggunakan air terlalu banyak dan antara faktor penyumbang adalah harga air yang terlalu rendah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Malah, Menteri (di KATS) turut menasihatkan agar penggunaan air dapat dikurangkan bagi negeri Pulau Pinang.

“Sebagai makluman, berdasarkan penggunaan air domestik per kapita sehari terkini, Pulau Pinang mencatatkan 178 liter per kapita sehari penggunaan air manakala kadar per kapita kebangsaan yang ditetapkan pada 201 liter per kapita sehari.

“(Dan) United Nation (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) pula menetapkan sasaran 160 liter per kapita sehari.

“Sebab itu, pihak kementerian (KATS) memberi saranan penggunaan air domestik per kapita sehari seluruh negara pada kadar 180 liter dan kita (PBAPP) sedang berusaha untuk mencapai sasaran ini,” jelasnya yang turut berharap agar pengguna di negeri ini tidak membazir air dan menggunakan air secara berhemah.

Tambah Jaseni, sumber air di Pulau Pinang, 80 peratus adalah daripada Sungai Muda yang mengalir daripada kawasan tadahan air Ulu Muda di Kedah.

“PBAPP turut menyuarakan kepada pihak Kerajaan Persekutuan agar kawasan ini diwartakan…apabila diwartakan maka tiada pembalakan.

“(Dan) PBAPP menyarankan agar diberikan pampasan sewajarnya kepada negeri Kedah (ekoran pewartaan kawasan tadahan air Ulu Muda),” ujarnya.

Gangguan bekalan air

Pada kesempatan itu juga, Jaseni memaklumkan akan ada gangguan bekalan air berjadual selama 12 jam di sepanjang kawasan Jalan Besar Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan mulai 10:00 malam pada 1 Mac 2019 (Jumaat) sehingga 10:00 pagi pada 2 Mac 2019 (Sabtu).

“Gangguan tersebut adalah disebabkan oleh kerja-kerja melencongkan saluran paip sedia ada bagi membolehkan kerja-kerja pelebaran oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan itu,” katanya.

Pengguna di kawasan terjejas juga diminta untuk menyimpan air yang mencukupi lebih awal untuk kegunaan sepanjang gangguan tersebut.