PBAPP rancang bina tangki simpanan atasi masalah tekanan air rendah di daerah Barat Daya

BATU UBAN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang merancang untuk membina sebuah tangki simpanan dekat Bukit Penara, Balik Pulau bagi mengatasi isu bekalan air di daerah Barat Daya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pendekatan berkaitan adalah ekoran sebahagian penduduk di daerah Barat Daya terutamanya di kawasan Bayan Baru dan Balik Pulau sering berdepan dengan masalah tekanan air rendah yang berlarutan sejak sekian lama.

“Kita (Pulau Pinang) mempunyai satu lagi sumber iaitu Empangan Teluk Bahang yang mana sebahagian penduduk di daerah Barat Daya khususnya Balik Pulau menerima sumber bekalan air dari empangan ini.

Ketua Menteri menyampaikan sumbangan kepada penduduk KADUN Batu Uban sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang.

“Oleh itu, dengan rancangan untuk membina tangki simpanan di Bukit Menara, maka sebahagian penduduk di daerah Barat Daya termasuk Balik Pulau akan mendapat bekalan air yang mencukupi.

“Ini merupakan salah satu usaha PBAPP untuk memastikan penduduk di negeri ini menerima bekalan air dengan kadar tarif yang rendah, bersih, selamat dan tanpa gangguan pada setiap masa,” katanya semasa berucap pada program Jelajah ❤️PENANG Ketua Menteri 2.0 ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban dan majlis taklimat pembekalan serta penggantian paip PBAPP dekat Taman Pekaka di sini sebentar tadi.

Pada majlis sama juga, Kon Yeow turut menyampaikan baucar sempena sambutan Tahun Baru Cina kepada 150 penduduk di sekitar KADUN Batu Uban.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Pekaka, Lew Kah Weng serta wakil-wakil agensi berkaitan.

Berswafoto bersama-sama penduduk yang hadir.

Menurut Kon Yeow, ekoran gangguan bekalan air luar jangka yang berlaku di bahagian pulau beberapa bulan lalu susulan kerja-kerja penggantian injap di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, PBAPP juga merancang untuk membina saluran paip berasingan untuk menyalurkan air dari Seberang Perai ke pulau.

“Bagi menangani masalah bekalan air ke bahagian pulau, sebenarnya PBAPP sudah membina saluran paip dasar laut berkembar ketiga dari Butterworth ke Gat Lebuh Macallum untuk menggantikan paip yang lama.

“Namun, disebabkan berlaku gangguan bekalan yang tidak sepatutnya berlaku beberapa bulan lalu, kita (Kerajaan Negeri) mencari penyelesaian dan membuat keputusan untuk membina saluran paip berasingan supaya air boleh disalurkan terus ke bahagian pulau,” katanya.

Mengulas mengenai projek pembekalan air di Taman Pekaka, Kon Yeow berkata bahawa projek berkenaan yang menelan kos sebanyak RM1 juta itu bakal bermula pada 1 Februari 2023 dan dijangka mengambil masa selama sembilan bulan untuk disiapkan.

“Projek ini melibatkan penggantian paip-paip lama yang diperbuat daripada asbestos simen (AC) kepada paip-paip bergaris Pusat 150 milimeter (mm) besi mulur (600meter) dan 50mm melibatkan Lorong Pekaka 1,2,3,4,5 dan Sungai Dua.

“Justeru, diharapkan dengan terlaksananya projek ini, penduduk di Taman Pekaka dapat menikmati bekalan air yang lebih baik pada masa akak datang,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai pembinaan tangki simpanan di Bukit Penara, Pathmanathan berkata bahawa projek tersebut dijangka mampu menampung kapasiti air sebanyak 3 juta mililiter sehari (MLD).

“Tangki simpanan ini akan menyalurkan air ke kawasan-kawasan yang mendapat bekalan air paling akhir dari saluran paip Sungai Dua seperti di Bayan Baru dan Balik Pulau.

“Pembinaan projek ini dijangka mengambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan kerana ia merupakan pelan kontigensi jangka panjang yang memerlukan perancangan yang teliti,” katanya.

Dalam pada itu, Kumaresan menzahirkan penghargaan kepada PBAPP kerana telah mempercepatkan projek penggantian paip lama di Taman Pekaka.

“Isu tekanan air rendah khasnya di Taman Pekaka dan Sungai Dua telah berlanjutan selama hampir lapan tahun lalu.

“Akhirnya, hari ini kita telah mendapat berita gembira kerana berjaya mendapatkan peruntukan RM1 juta bagi menaik taraf paip lama di Taman Pekaka untuk mengatasi isu tekanan air rendah di kawasan perumahan di sini.

“Oleh itu, saya juga ingin mengingatkan kepada pihak kontraktor yang dilantik supaya menyiapkan projek ini mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT